Hutan bandar berpotensi jadi destinasi ekopelancongan

Hutan bandar berpotensi jadi destinasi ekopelancongan

Syed Ibrahim ketika menyertai Larian FCC Nadi Hijau Larian untuk Hutan Bandar di Taman Eko Rimba di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kawasan hutan bandar di Wilayah Persekutuan berpotensi dijadikan destinasi ekopelancongan berimpak rendah menerusi Pelan Pengurusan Hutan bagi tempoh 2026 hingga 2035.

Pegawai Eksekutif Malaysia Forest Fund (MFF), Suhaini Haron berkata, pelan itu antara lain memberi tumpuan kepada pengenalpastian aktiviti ekopelancongan yang sesuai dengan fungsi serta kemampuan setiap kawasan hutan.

Menurut beliau, pembangunan aktiviti berkenaan perlu dilaksanakan secara terkawal supaya tidak menjejaskan fungsi hutan sebagai kawasan pemuliharaan.

“Kita mahu memastikan peluang ekopelancongan yang dikenal pasti benar-benar bersesuaian dengan fungsi kawasan hutan dan dilaksanakan secara berimpak rendah,” katanya ketika ditemui pada Larian Forest Conservation Certificate (FCC) Nadi Hijau Larian untuk Hutan Bandar yang disertai lebih 350 peserta, di sini hari ini.

Acara dirasmikan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh. Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Roslan Rani.

Suhaini berkata, pendekatan itu sebahagian daripada usaha memperkukuh perancangan dan pengurusan hutan di Wilayah Persekutuan secara menyeluruh, lestari dan responsif.

Katanya, Projek Penyediaan Pelan Pengurusan Hutan bagi Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan turut memberi tumpuan kepada semakan serta pengemaskinian pelan pengurusan hutan sedia ada.

Pada masa sama, aspek konservasi dan perlindungan kawasan hutan yang masih ada akan terus diperkukuh.

“Pemuliharaan hutan perlu bergerak seiring dengan usaha meningkatkan kesedaran masyarakat supaya orang ramai memahami bahawa hutan adalah sebahagian daripada kehidupan kita,” katanya.

Sementara itu, FCC sejauh lima kilometer itu bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi platform memperkenalkan projek berkenaan kepada masyarakat.

Menurutnya, program berkenaan turut meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan memelihara hutan bandar.

“Setiap langkah yang kita ambil untuk menjaga kesihatan diri juga boleh menjadi langkah untuk menjaga alam sekitar. Pemeliharaan hutan memerlukan penglibatan semua pihak,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×