Hisap ganja sejak darjah enam

Hisap ganja sejak darjah enam

BEKAS penagih dadah sintetik semasa ditemu bual di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), Sungai Besi, Kuala Lumpur. - UTUSAN/Shiddieqien Zon
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERJEBAK dengan pelbagai jenis dadah sejak berusia 12 tahun benar-benar menginsafkan Toni (bukan nama sebenar) yang pernah menerima rawatan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Sungai Besi, dekat sini, atas kerelaannya sendiri.

Anak sulung daripada enam beradik ini memberitahu, dia pernah terlibat dengan penagihan dadah jenis ganja, ice, heroin dan flavor sepanjang usia kanak-kanak sehingga zaman remajanya.

Kongsinya, dia yang berasal dari Klang mula berjinak-jinak dengan ganja selepas aktif dalam sukan bola sepak sejak di bangku sekolah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hubungan erat bersama rakan sepasukan termasuk individu yang lebih senior daripada dirinya, membuatkan pemuda berusia 22 tahun ini mula mengenali bahan terlarang itu.

“Saya mula terjebak dengan dadah disebabkan pengaruh rakan-rakan lain. Saya memang minat dan aktif bermain bola sepak sehingga pernah mewakili sekolah ke peringkat daerah, jadi kerap berjumpa dengan abang-abang senior dari sekolah menengah lain.

“Sejak itu kami menjadi rapat dan mereka sering mengajak saya bermain bola sepak bersama. Biasalah, waktu itu kami masih budak nakal, jadi perasaan ingin mencuba sesuatu yang baharu memang kuat.

“Apabila melihat ayah merokok di rumah, keinginan saya untuk ‘mencuba’ semakin membara. Tidak lama kemudian, saya mula merokok dan menghisap ganja bersama rakan-rakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Toni berkata, dadah tradisional seperti ganja hanyalah permulaan episod pengenalan dirinya dengan musuh negara nombor satu itu.

Seiring perkembangan usia remaja, dia mula menghidu pelembut cat (thinner) semasa dihantar belajar di sekolah tahfiz, selain mengenali dadah sintetik lain.

“Apabila mengambil dadah, tingkah laku saya menjadi semakin agresif. Saya pernah sampai tahap memukul ibu sendiri dan bercakap dengan dinding.

“Kalau hisap ice, saya boleh berjaga sehingga tiga hari. Akibatnya, saya terpaksa mengambil ubat penenang kerana mengalami masalah kesihatan mental,” katanya.

Toni yang sudah menjalani pemulihan selama 15 bulan di Puspen, berkata,  dadah bukan sahaja memberikan kesan terhadap tingkah laku harian, bahkan mula menaikkan nafsu syahwat sehingga dia kerap mencari teman wanita berbeza sebagai pemuas nafsu.

ANTARA model terapi dijalani oleh bekas penagih dadah sintetik di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), Sungai Besi, baru-baru ini. -UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

Dia menceritakan bagaimana pernah terlanjur bersama pelajar perempuan sehingga ketagihan untuk melakukan seks semasa di tingkatan empat.

“Dari zaman sekolah sampai bekerja kilang, sudah terlalu banyak saya menghisap dadah dan melakukan hubungan intim dengan wanita berlainan. Inilah kesan bahaya mengambil dadah sehingga menormalisasikan perbuatan terkutuk,” katanya.

Menjalani pelbagai jenis modul rawatan dan pemulihan, membuatkan Toni kini benar-benar insaf dan bertekad tidak mahu mengulangi kesilapan lampau.

Membesar tanpa kasih sayang seorang insan bergelar ayah disebabkan perceraian orang tua juga tidak menjadi penghalang untuknya berbakti terhadap ibu dan adik beradik lain.

Toni kini bekerja di bengkel pembaikan kereta dan bersungguh-sungguh mencari pendapatan sendiri.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×