Hajat ayah

Hajat ayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Raduwan terkejut apabila telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi bertalu-talu. Dia sedang khusyuk menyusun fail-fail di rak di dalam sebuah bilik khas menyimpan fail di pejabatnya. Itu antara tugas hakikinya.

Raduwan mengambil telefon bimbitnya yang diletakkan di atas rak. Jelas nama ayahnya yang membuat panggilan telefon.

Fikiran Raduwan menerawang. Kenapa ayahnya menelefon ketika dia sedang bekerja? Selalunya ayahnya akan menelefon ketika dia sudah pulang ke rumah.

“Assalamualaikum, Abah. Raduwan sedang bekerja ni. Abah di mana tu?” Raduwan menjawab panggilan telefon ayahnya sambil mengemukakan pertanyaan.

“Waalaikummusalam. Abah dalam bas ekspres ini,” jawab ayah Raduwan. Dia terkejut ayahnya sedang berada di dalam bas ekspres.

“Apa? Abah dalam bas ekspres? Abah nak pergi mana?” Tanya Raduwan dengan nada suaranya agak tinggi kerana terkejut.

“Abah dalam perjalanan nak ke rumah Wanlah ni. Abah sampai TBS (Terminal Bersepadu Selatan) dalam pukul 9 malam. Nanti Raduwan ambil Abah ye di TBS,” beritahu ayahnya dengan nada riang.

“Abah dengan emak ke tu?” Tokok Raduwan.

“Emak tak ikut. Abah datang seorang saja,” ujar ayahnya kemudian ketawa.

“Abah datang seorang? Kenapa emak tak ikut? Abah ada urusan apa?” Raduwan menokok lagi soalan.

“Emak tak nak ikut. Nanti Abah beritahu dalam kereta kenapa Abah datang ke rumah Raduwan,” jawab ayahnya kemudian memutuskan panggilan telefon.

Raduwan kembali melakukan tugas hakikinya. Sebaik sahaja dia selesai menyusun fail-fail di rak, dia menutup pintu bilik fail kemudian menuju ke meja tempat duduknya. Matanya melirik ke arah jam dinding di pejabatnya. Lagi lima minit pukul 5 petang.

“Abah sekarang dalam bas ekspres nak datang ke rumah kita,” ujar Raduwan kepada isterinya ketika menyambut kepulangannya di pintu rumah.

“Laaaa, abah tak beritahu pun dia nak datang rumah! Emak pun ada ikut?” Tanya Raudah dengan nada terkejut.

“Itulah pasal. Abang pun terkejut juga! Emak tak ikut. Abah seorang saja,” Jawab Raduwan memberitahu isterinya.

“Laaaa, abah seorang saja! Pukul berapa Abah sampai TBS?” Teriak Raudah kerana terperanjat mendengar bapa mertuanya datang seorang diri.

“Pukul 9 malam. Nanti kita pergi ambil abah di TBS. Awak ikut sekali tau,” Tokok Raduwan memberitahu isterinya.

Sewaktu Raduwan dan Raudah sampai di TBS, ayahnya bernama Lokman sudah berada di ruang menunggu. Agak panjang deretan kereta yang ingin mengambil penumpang yang tiba dengan bas ekspres di TBS.

Raduwan turun dari kereta dan mengangkat beg ayahnya masuk ke dalam but kereta. Dia membuka pintu belakang dan menyuruh ayahnya masuk.

“Abah sudah solat Maghrib kan?” Tanya Raduwan mengingatkan ayahnya.

“Nanti Abah solat di rumah Raduwan. Solat jamak Qasar takhir Isyak dan Maghrib,” Jawab Lokman.

“Abah ada urusan ke datang ke sini?” Tanya Raudah pula yang teruja dengan kemunculan ayah mertuanya.

“Agak-agak cuba teka apa tujuan Abah datang ke rumah kamu berdua?” Ujar ayahnya kemudian ketawa.

“Manalah kami tahu, Abah. Kenapa emak tidak ikut Abah sekali?” Tanya Raudah lagi.

“Emak tak nak ikut. Tujuan Abah datang ke rumah kamu berdua adalah hajat Abah nak bawa cucu Abah jalan-jalan naik kereta api MRT,” Jawab ayah Raduwan.

“Atuk hendak bawa Wafi jalan-jalan naik MRT!” Jerit Wafi yang duduk dengan Raudah di belakang Raduwan.

“Abah nak bawa Wafi pergi jalan-jalan? Nak bawa ke mana? Abah tahu ke cara nak naik MRT?” Raudah mengemukakan pertanyaan dengan nada terperanjat.

“Kalau Abah nak pergi dengan Wafi sahaja, Raduwan tak setuju. Tapi jika Raudah ikut dan temankan Abah dan Wafi, Raduwan setuju,” Raduwan menyatakan kebimbangannya.

“Sebab Abah tahu Wan bekerja. Memang rancangan Abah, hendak minta Raudah ikut Abah bawa Wafi jalan-jalan ke bangunan TRX (Tun Razak Exchange). Abah tengok di Youtube, TRX sebuah bangunan yang menarik yang di dalamnya ada pusat beli-belah yang glamor,” Jelas ayah Raduwan tentang maklumat yang diperolehnya.

“Apa tujuan sebenar Abah nak bawa Wafi naik MRT? Atau sebenarnya Abah yang teringin hendak merasa naik MRT?” Tanya Raudah.

“Sebenarnya, sejak kereta api MRT beroperasi, Abah memang teringin sangat nak naik MRT.

“Di kampung mana ada MRT. Kok nak tunggu kereta api ECLR siap, Abah tak pasti dapat merasa naik atau tidak,” Ayah Raduwan meluahkan keinginannya.

“Setakat abah nak naik MRT tak ada masalah. Nanti saya bawa Abah dan Wafi jalan-jalan. Boleh kan, abang?” Kata Raudah memberi cadangan.

“Boleh sangat, Idah. Kalau abang nak ikut, kena pergi hari Sabtu atau Ahad, hari lain abang kerja,” Sampuk Raduwan.

“Abah tak nak pergi hari Sabtu atau Ahad. Abah nak balik kampung hari Khamis ini,” katanya.
“Kalau macam itu, kita pergi hari Rabu ini,” Ujar Raudah.

Pagi Rabu ayah Raduwan telah bersiap sedia hendak berjalan-jalan menaiki MRT.

Raudah dan anaknya Wafi yang berusia lima tahun pun telah bersiap sedia dengan pakaian yang cantik. Waktu ketika itu pukul 10 pagi. Raduwan tidak ikut serta kerana pergi bekerja.

Raudah memandu kereta membawa Wafi dan bapa mertuanya ke stesyen MRT UPM. Sebaik sahaja sampai di stesyen MRT, Raudah meletak kereta dalam kawasan parkir kemudian membawa bapa mertuanya masuk ke dalam bangunan stesyen MRT.

Lokman memegang tangan cucunya menaiki eskalator menuju ke tingkat pertama. Raudah menuju ke kaunter menjual tiket.

“Abah, tolong bagi kad pengenalan. Warga emas dapat separuh harga,” Ujar Raudah sambil menadah tangan kepada bapa mertuanya.

Petugas kaunter menyerahkan sekeping token yang akan digunakan oleh warga emas untuk menaiki kereta api MRT.

“Kenapa Raudah tak beli token?” Tanya Lokman kepada menantunya.

“Saya guna kad touch n go. Sebab tak dapat separuh harga,” Jawab Raudah.

Setelah membeli token, Raudah mengajak bapa mertuanya memasuki pintu masuk ke tingkat dua.

Di pintu masuk, Raudah meletak token di bahagian pengimbas. Sebaik sahaja pintu terbuka, Raudah menyuruh bapa mertuanya masuk. Kemudian Raudah meletak kad touch n go untuk dia masuk bersama anaknya Wafi.

Menuju ke tingkat dua, juga perlu menaiki eskalator. Di tingkat dua, Raudah memberitahu bapa mertuanya bahawa di situlah tempat menaiki kereta api MRT yang akan tiba dalam masa lima minit lagi.

Lokman berasa sangat teruja melihat situasi stesen MRT. Sangat moden dan cantik. Landasan kereta api dipisahkan oleh pintu cermin yang dijadikan pagar untuk menghalang penumpang memasuki kawasan landasan.

Laluan landasan sebelah kanan menuju ke Kwasa Damansara manakala laluan landasan sebelah kiri menuju ke Putrajaya Sentral. Tiba-tiba kedengaran suara mengumumkan ketibaan kereta api menuju ke Kwasa Damansara.

Raudah menyuruh bapa mertuanya dan anaknya Wafi berdiri berdekatan pintu cermin. Bunyi enjin kereta api menangkap di telinga. Kereta api berhenti. Kemudian pintu cermin dan pintu kereta api terbuka serentak secara

automatik. Penumpang yang berada di hentian masuk ke dalam keretapi.

Lokman duduk di kerusi yang bertanda logo warga emas. Cucunya Wafi duduk bersebelahannya. Raudah duduk di sebelah anaknya. Dari dalam kereta api MRT, Lokman nampak bangunan tinggi dan kawasan perumahan.

Beberapa minit kemudian, kereta api MRT berhenti di stesyen MRT Serdang Jaya. Ada penumpang yang turun, ada yang naik.

Dalam kereta api MRT ada peta laluan kereta api MRT. Mata Lokman menatap peta tersebut. Dia ingin melihat di mana kedudukan stesen MRT TRX. Selepas Serdang Jaya, hentian Serdang Raya Selatan, hentian Serdang Raya

Utara, hentian Sungai Besi, hentian Taman Naga Emas, hentian Kuchai, hentian Chan Show Lin dan hentian TRX.

Kemudian mata Lokman leka melihat pemandangan di luar kereta api MRT. Selepas hentian Kuchai, Lokman terkejut kereta api MRT masuk laluan terowong bawah tanah. Keadaan sangat gelap.

Sampai di hentian TRX, kereta api masih melalui terowong bawah tanah. Raudah mengajak bapa mentuanya turun sambil memegang tangan anaknya. Lokman terpegun melihat eskalator yang sangat panjang naik ke tingkat atas. Bermakna hentian MRT TRX berada jauh di dalam tanah.

Setelah keluar melalui pintu utama hentian, Raudah menunjukkan kepada bapa mertuanya laluan menuju ke pusat beli belah TRX.

Sebaik sahaja Lokman memasuki bangunan TRX, matanya terpegun melihat keindahan bangunan. Pelbagai produk jualan memenuhi setiap ruang di bangunan itu.

“Abah, nanti bila kita sudah habis pusing di tingkat satu ni, kita makan tengah hari di medan selera dalam bangunan ni. Saya hendak belanja Abah makan,” ujar Raudah.

“Wafi nak pegang tangan atuk ke, nak pegang tangan mama,” Lokman bertanya kepada cucunya.

“Tangan atuk la,” Jawab Wafi memegang dan mencium tangan atuknya.

Lokman membawa cucunya menyusuri setiap ruang kedai. Wajah cucunya nampak riang. Apatah lagi cucunya nampak kedai jual permainan kanak-kanak.

Selesai makan tengah hari, Raudah bertanya bapa mertuanya.

“Abah nak jalan-jalan lagi ke atau nak balik?”

“Jomlah kita balik. Abah sudah puas hati dapat naik MRT dan jalan-jalan di bangunan TRX. Hajat ayah telah dimakbulkan Allah,” Jawab Lokman.

Hari Khamis selepas sarapan pagi, Raduwan telah bersiap sedia menghantar abahnya ke TBS yang akan balik menaiki bas ke Kelantan. Tiket bas untuk abahnya telah dibeli secara online.

Setelah Lokman bersalam dengan Raudah menantunya dan memeluk Wafi cucunya, dia masuk ke dalam kereta. Raduwan bertolak menuju ke TBS.

Selepas menunaikan solat Isyak, telefon bimbit Raduwan berbunyi. Tertera nama ibunya di skrin.

“Raduwan, polis baru telefon emak beritahu bas ekspres yang abah naik ditimpa kemalangan. Bas tu jatuh dalam gaung,” Suara ibu Raduwan menggeletar.

“Allahuakbar! Di mana kemalangan itu berlaku, emak?” Raduwan amat terkejut dan cemas mendengar berita yang disampaikan ibunya.

“Jalan Gua Musang Kuala Krai. Tapi polis tak beritahu keadaan abah. Emak risau sangat ini,” Luah hati ibunya.
“Emak bawa bertenang. Kita berdoa abah selamat. Raduwan nak telefon balai polis di sana. Nanti Raduwan telefon emak,” Raduwan memujuk ibunya.

Raduwan memanggil Raudah yang berada di dapur. Dia memberitahu berita kemalangan yang menimpa abahnya. Raudah terkejut.

Raduwan segera mencari berita tentang kemalangan bas masuk gaung di media sosial. Memang ada berita tentang bas terbabas masuk ke dalam gaung di Jalan Gua Musang Kuala Krai.

Hati Raduwan berasa lega apabila berita kemalangan itu memberitahu kesemua penumpang bas selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Raudah berasa sebak dan memeluk Raduwan kerana rasa bersyukur bapa mertuanya dilindungi Allah. Terbayang-bayang wajah riang dan teruja abah, menaiki MRT beberapa hari lalu.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×