KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menegur Pas supaya tidak mencampuri urusan politik Sabah dan Sarawak susulan cadangan penambahan jumlah kerusi parlimen dua negeri itu.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat, Datuk Masiung Banah berkata, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari tidak sepatutnya mencetuskan permusuhan antara Sabah dan Sarawak dengan kerajaan Persekutuan berhubung isu berkenaan.
“Tuntutan penambahan nisbah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak mempunyai asas mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Sabah dan Sarawak mempunyai hak ke atas tuntutan jumlah kerusi Parlimen kerana memang tercatat dalam MA63 sejarah pembentukan Malaysia.
“Oleh itu, tidak timbul siapa Perdana Menteri mengumumkan penambahan jumlah kerusi membabitkan pindaan perlembagaan itu kerana blok Borneo sudah sekian lama menuntut hak berkenaan menerusi MA63,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ahmad Fadhli menggunakan ungkapan `jangan jatuh gaung bersama Anwar’ ketika mengulas isu penambahan jumlah kerusi parlimen
.
Menurut Masiung, parti politik di Sabah termasuk pembangkang menghormati semua parti politik yang berpengkalan di Semenanjung, termasuk PAS.
Bagaimanapun, katanya, tindakan pemimpin Paw berkenaan mencampuri urusan politik Sabah dan Sarawak tidak boleh diterima.
Sehubungan itu, Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut menegur Ahli Parlimen Pasir Mas itu supaya menjaga integriti parti dan tidak bertindak sebagai penghasut dalam urusan politik Borneo.
“Pemimpin Sabah dan Sarawak matang dalam membuat keputusan sendiri tanpa memerlukan campur tangan pihak luar,” katanya.
Beliau berkata, sikap taksub dalam politik Pas tidak mendapat tempat di Sabah dan Sarawak kerana rakyat Borneo terkenal dengan semangat perpaduan serta saling menghormati walaupun mempunyai fahaman politik berbeza. – UTUSAN











