Persembahan teater Tomyam Berdarah yang diadakan di Panggung Seni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini memberi satu cabaran baharu kepada pelakon muda yang berjaya membawa watak masing, selain membawa kelainan dalam konteks pementasan teater tempatan.
Pementasan teater muzikal itu menjadi satu eksperimental kepada produksinya CTRA Production yang mempersembahkan dengan konsep muzikal, memerlukan pendukung watak menyanyi dan menari .
Lebih membanggakan, bakat lakonan dan tarian pelakon muda agak terserlah dan mereka berpuas hati menjayakan teater berkenaan yang dipentaskan sebanyak tiga kali. Teater berkenaan bukan sekadar membawa jalan cerita mencari jawapan misteri kematian Chef Rahman tetapi cabaran besar kepada pengarahnya.
Teater arahan Aloeng Silalahi itu merupakan kerjasanma strategik antara CTRA Production, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (PUSKEB USIM) dan PUSKEB UKM.
Mengulas persediaan kumpulan pelajar dan alumni Akademi Teater Rupawan Asli (ATRA), Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (PUSKEB USIM) yang turut membintangi Teater Muzikal Tomyam Berdarah, Aloeng memberitahu, sesi latihan tidak memerlukan masa lama memandangkan ini merupakan pementasan kali keempat.

“Proses kali ini agak singkat kerana pelajar yang terlibat pernah beberapa kali menjayakan teater ini walaupun dalam versi berbeza.
“Selain Anugerah Festival Teater UKM 2024, mereka (pelajar) juga membuat persembahan Teater Muzikal Tomyam Berdarah pada ATRA Semester Showcase 2025 dan Festival Teater Segara ASEAN di Universitas Indonesia,” ujar Aloeng yang juga merupakan tenaga pengajar di USIM.
Antara pelakon terbabit dalam Teater Muzikal Tomyam Berdarah ialah Karl Shafek dan Juhara Ayob serta kumpulan pelajar dan alumni ATRA di bawah Angkatan Seni Budaya USIM dan UKM.
Teater Muzikal Tomyam Berdarah merupakan pementasan teater muzikal interaktif bergenre satira jenayah menggabungkan elemen komedi gelap, siasatan dramatik dan naratif makanan tempatan.
Ia bukan sekadar cerita tentang kematian, tetapi mengenai hidup yang ‘direbus’ bersama harapan, dendam dan identiti, maka semua itu disajikan di dalam satu periuk tomyam. Berlatarkan sebuah restoran yang sedang siap siaga menyertai pertandingan Master Chef Universe, kekecohan bermula apabila pemilik restoran, Chef Rahman ditemukan mati di dalam periuk tomyam warisannya sendiri.
Daripada situ, dapur menjadi lokasi jenayah dan setiap pekerja menjadi suspek, semuanya ada motif, semuanya menyimpan rahsia!.
Teater itu dipentaskan sebagai sokongan terhadap usaha kerajaan yang sentiasa proaktif memperkasakan dan mengasah kemahiran generasi muda dalam bidang kulinari sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sehingga tahap profesional.

Apatah lagi, melihat landskap gastronomi semakin berkembang khususnya bidang masakan menjadi pilihan utama sebahagian besar rakyat Malaysia mendorong CTRA Production dan Peran Opera mengangkat industri makanan dan minuman (F&B) dalam pementasan Teater Muzikal Tomyam Berdarah.
Menurut Aloeng yang juga penulis skrip, idea menghasilkan teater bertemakan satira siasatan tercetus apabila menghadiri Anugerah Festival Teater UKM 2024.
Mengulas mengenai cabaran menggilap bakat lakonan generasi muda beliau berkata, banyak perkara perlu dinilai seperti disiplin komitmen, selain bakat sedia ada.
Beliau bersyukur kerana dua pelakon muda yang dibawa masuk iaitu Saidatul Aliah Badaruddin yang memegang watak sebagai Lisa dan Muhammad Hariz Daniel Mohd Sharel Azlee sebagai Chef Taufik menunjukkan bakat dan kesungguhan.
“Kadangkala kita tidak menyangka (mereka) ada bakat tetapi Generasi Z ini ada kepercayaan sendiri bahawa pementasan teater tidak semestinya membawa naskhah berat kerana audien mereka adalah golongan mereka yang ingin sesuatu yang mudah dan ringkas.
“Mereka bukan daripada golongan mainstream tetapi audien mereka menyokong bakat bakat muda ini, “ ujarnya.
Apatah lagi pelakon seperti Muhammad Hariz Daniel dan Saidatul Aliah bukan mendapat asuhan berlakon teater daripada Fakulti Persembahan Kreatif kerana mereka merupakan pelajar USIM dan bekas mahasiswa universiti yang tidak ada Fakulti Persembahan Seni.
Kedua-dua mereka mengaku teater sebagai saluran meluahkan perasaan yang tidak dapat dilakukan dalam kelas pengajian.
“Saya seronok dan sanggup berlakon, macam terapi bagi saya dan sanggup berlakon lagi jika ditawarkan,“ ujar Saidatul Aliah.
“Saya minat dan juga menjadikan teater sebagai saliran melepaskan perasaan,” ujarnya yang juga bekas Kelab ATRA, sama seperti Saidatul Aliah
Dalam pada itu, menurut penerbit Teater Muzikal Tomyam Berdarah, Siti Rohayah Atan yang juga penerbit CTRA, rata-rata penonton begitu menghayati dan menikmati setiap babak dalam teater bergenre satira jenayah tersebut.
“Gabungan elemen komedi, saspens dan emosi yang digarap rapi dalam jalan cerita berjaya menghiburkan jiwa serta meninggalkan impak kepada audiens daripada pelbagai peringkat usia.

“Tambahan pula, di sebalik gelak tawa, setiap plot sarat dengan mesej dan pengajaran buat masyarakat agar sentiasa menyantuni insan sekeliling walau sudah berada di puncak kejayaan,” katanya.
Menerusi pementasan itu , Kelab Kejar Tayang dan ATRA di bawah Penerbitan Kreatif PUSKEB USIM komited serta kreatif mempersembahkan karya yang mengangkat tema kulinari. Aloeng berkata, pendekatan teater itu berkonsepkan free and easy diselit dengan unsur komedi dengan lagu yang diubahsuai sedikit liriknya mengikut selera penonton muda.
Katanya penggunaan nama tomyam bagi melambangkan masyarakat Malaysia yang pelbagai sesuai dengan rempahnya masakan tersebut dan dan darah diperlambangkan sebagai elemen atau anasir jahat dalam masyarakat.
Suasana Panggung Seni UKM yang kondusif menjadi antara faktor utama pementasan ini berjalan lancar. Kemudahan fasiliti lengkap, kawalan suhu, serta sistem bunyi dan pencahayaan terbaik menjadikan pengalaman menonton sangat memuaskan.
Pementasan Teater Muzikal Tomyam Berdarah menjadi bukti karya seni tempatan masih mempunyai tempat yang kukuh dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda dan komuniti setempat.
“Melihat kepada potensi ini diharapkan agar anak-anak muda terus aktif memperkasakan seni teater tempatan bagi memastikan warisan seni persembahan pentas sentiasa relevan dan berkembang mengikut zaman,” ujar Siti Rohayah lagi.
Pelbagai aktiviti lain turut diadakan di pekarangan panggung seperti Pameran Fotografi ‘Potret dan Personaliti (merakam wajah, menyingkap personaliti) Menginspirasi Dunia’ oleh jurugambar wanita profesional Noor Baini Masri dan kaunter kaligrafi PUSKEB USIM.-UTUSAN









