SETIU: Puas 40 tahun mengharungi hidup sebagai nelayan laut dalam, seorang warga emas kini beralih kepada penternakan lembu sado sebagai sumber rezeki baharu.
Dun Patah Mohd. Nor, 65, berkata keputusan itu dibuat lima tahun lalu selepas dia mula serius menternak lembu daripada baka Charolais dan Limousin di sekitar rumahnya di Kampung Gong Batu, di sini.
Bermula dengan hanya mengisi masa lapang, kini aktiviti itu berubah menjadi sumber pendapatan.
“Dulu saya nelayan laut dalam dan hampir 40 tahun mencari rezeki di laut. Apabila usia semakin meningkat, saya mengambil keputusan berhenti dan memilih menternak lembu dengan bantuan anak-anak.
“Sekarang penternakan ini bukan sahaja mengisi masa lapang, malah menjadi sumber pendapatan keluarga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Menurut Dun Patah, ketika ini dia mempunyai kira-kira 10 ekor lembu yang diternak khusus untuk pasaran korban, dengan permintaan biasanya meningkat menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha.
“Untuk memastikan lembu sentiasa sihat dan berkualiti, penjagaan dilakukan secara rapi termasuk mendapatkan pemantauan serta pemeriksaan pihak veterinar,” katanya.
Selain menggunakan makanan pelet dan habuk sawit, dia turut menanam rumput Napier bagi mengurangkan kos makanan ternakan yang semakin meningkat.
Dun Patah berkata, pengalaman sebagai nelayan selama puluhan tahun banyak mengajarnya mengenai disiplin dan ketekunan yang kini diaplikasikan dalam menguruskan ternakan.
“Walaupun tidak lagi ke laut, saya tetap perlu bekerja dan mempunyai rutin setiap hari. Ternak lembu memerlukan perhatian kerana kesihatan dan pemakanan perlu sentiasa dijaga,” katanya. – UTUSAN










