GUA MUSANG: Dua sekolah Orang Asli di Kelantan dinaik taraf daripada Sekolah Model Khas Komprehensif (K9) kepada K11 bagi membolehkan murid meneruskan pendidikan sehingga tingkatan lima tanpa perlu keluar dari kawasan penempatan mereka.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, dua sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai di Pos Bihai dan SK Sri Permai di Pos Pasik.
Katanya, peningkatan status sekolah berkenaan adalah antara usaha Kementerian Pendidikan memperkukuh akses pendidikan dalam kalangan anak Orang Asli selain membantu mengurangkan risiko keciciran.
“Anak-anak Orang Asli ini akan mendapat akses pendidikan dan jaminan pendidikan sehingga sekolah menengah di perkampungan mereka sendiri,” katanya selepas Program Tindak Susul Parlimen Siri 3 Parlimen Gua Musang di SK Gua Musang, di sini hari ini.
Fadhlina berkata, langkah itu turut memberi ruang kepada murid Orang Asli untuk mendapatkan pendidikan menengah tanpa perlu berjauhan daripada keluarga.
Katanya, sokongan ibu bapa dan guru juga penting dalam memastikan anak-anak Orang Asli terus mendapat pendidikan yang sewajarnya termasuk dari aspek penguasaan literasi.
“Kita tidak guna perkataan buta huruf, kita guna perkataan penguasaan literasi kepada generasi yang kita perkukuh di pelbagai peringkat.
“Disebabkan itu intervensi, sokongan guru dan sokongan ibu bapa sentiasa menjadi keutamaan kita termasuk anak Orang Asli,” katanya. – UTUSAN










