KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang pekerja sambilan membela diri atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang kelindan lori di Setapak, tiga tahun lalu.
Keputusan itu dibuat Hakim Dr. Azrol Abdullah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Chuah Chun Lai, 40, di akhir kes pendakwaan.
“Setelah meneliti dan menilai semua keterangan oleh kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan prima facie ke atas tertuduh. Oleh itu, mahkamah ini memanggil tertuduh untuk membela diri,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Chun Lai didakwa telah secara cuai menyebabkan kematian V. Murugan, 63, di Jalan 2/23D, Setapak antara pukul 9 dan 11.45 malam, 9 September 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Peguam Daniel Savarimuthu memaklumkan anak guamnya akan memberikan keterangan secara bersumpah dari kandang saksi, selain akan memanggil dua atau tiga saksi untuk hadir memberikan keterangan.
Mahkamah menetapkan prosiding bela diri itu dijalankan selama dua hari bermula 26 November ini.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh.
Sebelum ini, Chun Lai didakwa di Mahkamah Majistret pada 2023 atas pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, sebelum kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, pertuduhan dipinda kepada Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan dan tertuduh yang mengekalkan pengakuan tidak bersalah itu mula dibicarakan pada 13 Mac 2025 dengan 12 orang saksi pendakwaan dipanggil memberikan keterangan.-UTUSAN











