PETALING JAYA: Penyanyi, Cat Farish, 52, terpaksa menanggung kerugian gara-gara ditipu rakan perniagaan yang bertindak melarikan bayaran sewa usahawa yang berniaga sempena Da Bomb Festival yang diadakan sekitar penghujung Mei tahun lalu.
Jelas cat atau nama sebenarnya Farish Ramli, lebih parah lagi apabila individu berkenaan bertindak menghilangkan diri dan gagal dijejaki sehingga ke hari ini.
“Perkara ini sudah lama berlalu. Kami ditipu oleh orang tengah yang mengutip sewa penjual-penjual yang berniaga di festival tersebut. Sama ada orang tengah itu melarikan duit atau tidak, itu kami tak pasti, wallahualam.
“Sampai sekarang kami menanggung kerugian dan cemuhan peniaga-peniaga yang terkesan. Kami serahkan kepada peguam untuk mengambil alih perkara ini.
“Selain melarikan duit penyewa, individu berkenaan turut menipu hasil penjualan baju. Namun perkara itu tidak ada kena mengena kerana kami tidak pernah bersetuju untuk bekerjasama mengenai perkara itu,” katanya yang menanggung kerugian mencecah RM100,000.
Cat ditemui pada majlis tayangan filem kecerdasan buatan (AI), Siluman: Dendam Harimau Jadian di TGV, KLCC semalam.
Mengulas lanjut, cat memaklumkan individu berkenaan merupakan kenalan rapat yang pernah bekerjasama dengannya sebelum ini.
“Kami bukan baharu bekerja sama, dia kawan saya. Biasalah, kalau tak dapat, tak akan jadi perkara ini.
“Namun dia bukanlah bergelar selebriti, cuma rakan yang selalu bersama-sama kami menganjurkan acara.
“Kami tidak lagi berkawan, dia menghilangkan diri. Kalau terjumpa memang saya heret ke muka pengadilan,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, Cat mengakui serik dan mengambil langkah berhati-hati jika perlu bekerjasama dengan mana-mana individu yang dikenalinya.
“Kalau ada RM100,000, apa yang boleh kita buat dengan duit tersebut? Macam-macam yang kita boleh lakukan dengan wang tersebut.
“Sampaikan saya tinggalkan dunia nyanyian sebab nak berniaga, buat acara dan sebagainya,” kongsinya.- UTUSAN











