KLANG: Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Selatan terpaksa berjalan kaki sejauh 2 kilometer (km) mengharungi banjir apabila paras air tinggi menghalang perjalanan jentera penyelamat dekat Taman Rashna di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima laporan kejadian banjir di kawasan tersebut pada pukul 7 petang tadi sebelum menggerakkan pasukan berkenaan menuju ke Jalan Keris 12 itu.
“Komander operasi lapor sampai dilokasi didapati banjir sedalam paras pinggang. Jentera bomba tidak dapat masuk ke lokasi kerana air paras air tinggi.
“Anggota harus berjalan sejauh 2 km untuk ke lokasi kawasan perumahan yang terlibat dengan banjir,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, tiga individu terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita serta empat kanak-kanak ditemui dan dipindahkan ke tempat selamat.
Seramai tujuh pegawai dan anggota bersama sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terlibat dalam operasi tersebut.
Sementara itu, tinjauan menerusi media sosial mendapati terdapat beberapa kawasan didakwa dinaiki air susulan hujan lebat turun lebih daripada satu jam pada petang tadi.
Antara kawasan yang terjejas seperti persimpangan Lebuhraya Shapadu dan Lebuhraya Persekutuan di Bukit Raja, di sini; Lebuh Keluli di Kawasan Perindustrian Bukit Raja Selatan dan Pintu Seksyen 7 Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Keadaan itu menyebabkan kesesakan luar biasa berlaku apabila terdapat kawasan yang masih digenangi air. – UTUSAN











