KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang berlangsung hampir tiga jam bermula pukul 3 petang tadi.
Katanya, beliau mengemukakan cadangan peletakan jawatan itu kepada mesyuarat CEC sebelum keputusan dibuat sebagai reaksi parti terhadap perkembangan berhubung tahanan rumah Najib.
“Saya telah katakan bahawa saya mengemukakan cadangan ini kepada mesyuarat CEC tadi dan telah pun dibincangkan dan kita membuat keputusan bahawa saya meletakkan jawatan sebagai reaksi parti terhadap apa yang telah pun berlaku,” katanya dalam sidang akhbar mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) berhubung keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Ibu pejabat DAP hari ini.
Semalam, Najib mendapat pengampunan bersyarat dengan beliau perlu menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk sekiranya membayar denda RM50 juta.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang berlangsung hari ini.
Tambah Anthony Loke, DAP bagaimanapun menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, namun parti mempunyai pendirian berhubung keputusan tersebut yang sukar diterima DAP dan ramai rakyat Malaysia.
Katanya, DAP sejak awal memperjuangkan keadilan dan pertanggungjawaban berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta mahu pihak bertanggungjawab dikenakan hukuman setimpal.
“Saya akan mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat, namun memerlukan sedikit masa bagi menyelesaikan beberapa urusan tertunggak kementerian.
“Operasi Kementerian Pengangkutan akan berjalan seperti biasa kerana perancangan dan projek yang telah dilaksanakan akan diteruskan walaupun berlaku pertukaran menteri,” katanya. – UTUSAN











