Aktiviti sukan luar di zon merah dilarang

Aktiviti sukan luar di zon merah dilarang

KEADAAN jerebu yang melanda Pulau Pinang, baru-baru ini. – UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Semua aktiviti luar termasuk acara sukan adalah dilarang di kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tinggi dan berada dalam zon merah.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, langkah itu penting bagi melindungi kesihatan atlet dan orang ramai susulan keada­an jerebu yang melanda beberapa kawasan ketika ini.

Katanya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa berdasarkan maklumat daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelesta­rian Alam (NRES) serta agensi berkaitan.

“Sebagai contoh di Serian, IPU sekarang sangat tinggi dan berada dalam zon merah. Sudah pasti kita melarang sebarang aktiviti luar diadakan di kawasan berkenaan.

“Setiap acara sukan yang ingin dilaksanakan perlu mendapat kelulusan kementerian dan keputusan dibuat berdasarkan garis panduan yang ditetapkan kerajaan,” katanya selepas menghadiri majlis Flag Off Ore­gon Tower Run Series @ The Top Penang, di sini semalam.

Menurut beliau, KBS turut berkomunikasi dengan Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan kesihatan atlet ter­jamin, terutama menjelang Sukan Asia yang akan berlangsung tidak lama lagi.

“Keutamaan kita adalah kesihatan atlet, tetapi pada masa sama kita tidak mahu menjejaskan latihan yang sudah ditetapkan.

“Atlet yang menjalani latihan luar perlu mengikut garis panduan ditetapkan bagi menge­lakkan perkara tidak diingini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata aktiviti sukan masih boleh diteruskan di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU rendah, selamat atau sederhana.

Sementara itu, Dr. Mohammed Taufiq berkata, memperluas peluang sukan kepada golongan muda di peringkat akar umbi bagi melahirkan atlet pelapis negara adalah antara cadangan yang sedang dirangka untuk Belanjawan 2027.

Beliau berkata, KBS mahu memastikan kemudahan, dana dan peluang menyertai aktiviti sukan dapat diperluas kepada masyarakat, termasuk di luar bandar.

“Keutamaan kita adalah memastikan ruang untuk ma­syarakat bersukan itu ada ke­rana kita mahu melahirkan atlet pelapis yang bermula daripada akar umbi.

“Sebab itu, dana, geran, sukan komuniti dan geran padanan sukan adalah antara platform untuk menggalakkan lebih ramai me­nyertai aktiviti sukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×