55,169 penjawat awam berisiko tinggi cenderung bunuh diri

55,169 penjawat awam berisiko tinggi cenderung bunuh diri

MOHD Bakhari Ismail (dua dari kiri) selepas merasmikan Persidangan Pegawai Psikologi Perkhidmatan Awam Tahun 2026 (PSYCON 2026) di ibu negara, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 55,169 penjawat awam di negara ini dikenal pasti berada dalam kategori berisiko tinggi serta mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri menerusi dapatan Sistem Profil Digital Kesihatan Psikologi Penjawat Awam (MyPsyD).

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr. Mohd Bakhari Ismail berkata, angka tersebut mencerminkan betapa isu kesihatan mental dan kesejahteraan jiwa dalam sektor awam kini berada pada tahap yang perlu diberi perhatian serius.

Menurutnya, usaha memperkukuh kesejahteraan psikologi penjawat awam yang merupakan tulang belakang pentadbiran negara perlu dilihat sebagai pelaburan strategik, dan bukannya sekadar menangani masalah selepas ia berlaku.

“Kesejahteraan psikologi merupakan antara faktor penting yang mempengaruhi kesejahteraan organisasi yang pada akhirnya mempengaruhi kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Oleh itu, usaha memperkukuh kesejahteraan psikologi secara holistik perlu dilihat sebagai pelaburan strategik bagi memastikan rakyat Malaysia.

“Khususnya perkhidmatan awam yang merupakan tulang belakang pentadbiran negara kekal cekap, responsif dan berdaya tahan,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Pegawai Psikologi Perkhidmatan Awam Tahun 2026 (PSYCON 2026) di ibu negara, hari ini. 

Julai lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz memaklumkan bahawa MyPsyD mendapati terdapat lebih 40,000 penjawat awam menghadapi masalah kesihatan mental.

Mengulas lanjut, Mohd. Bakhari berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kini giat merangka beberapa langkah intervensi tuntas termasuk membangunkan Garis Panduan Kesihatan Mental Perkhidmatan Awam.

Katanya, JPA juga bakal memperkenalkan Indeks Kebahagiaan Penjawat Awam sebagai instrumen penting untuk mengukur serta menilai tahap kesejahteraan psikologi warga kerja sektor awam secara lebih komprehensif.

“Kerajaan sentiasa prihatin dan telah menyediakan pelbagai kemudahan bagi memastikan keseimbangan antara kehidupan dan kerjaya warga kerja sektor awam.

“Ini merangkumi penambahbaikan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), pelaksanaan Dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH) bermula 1 Ogos lalu, serta Garis Panduan Pembudayaan Keseronokan Bekerja Sektor Awam,” katanya.

Beliau berkata, JPA turut dalam proses melaksanakan kajian hala tuju dan pemerkasaan Skim Perkhidmatan Psikologi, selain meningkatkan tahap akademik Pegawai Psikologi sektor awam ke peringkat Sarjana secara berperingkat.

“Langkah ini bagi memastikan perkhidmatan psikologi tidak lagi dilihat sekadar perkhidmatan sokongan, sebaliknya bertindak sebagai penggerak utama dalam pemerkasaan sumber manusia negara,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×