PETALING JAYA: Sebanyak 500,000 saman bernilai RM150 juta dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kepada warga asing yang didapati melakukan kesalahan jalan raya sejak 2023 menerusi Operasi Pemandu Warga Asing (Op PeWA).
Jumlah itu mengambil kira kadar maksimum RM300 bagi setiap saman dikeluarkan membabitkan kesalahan antaranya tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan dan insurans.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, usaha penguatkuasaan terhadap warga asing bukan setakat mengeluarkan saman sebaliknya mana-mana kenderaan dipandu mereka dan didapati tidak mematuhi peraturan akan disita serta-merta bermula Julai lalu.
Malah katanya, pemilik dan pemandu kenderaan terbabit boleh dihadapkan ke mahkamah untuk tindakan lanjut jika didapati melakukan kesalahan jalan raya.
Katanya, tindakan itu merupakan pendekatan baharu JPJ di mana pihaknya tidak berkompromi terhadap mana-mana pemandu warga asing yang melanggar undang-undang jalan raya negara ini.
“Bila kita keluarkan saman, perkara ini tidak berakhir di situ. Jadi, mulai Julai tahun ini, kita telah mengubah pendekatan.
“Kes berkenaan perlu diselesaikan di mahkamah dan sekiranya tidak diselesaikan, kenderaan terbabit tidak akan dibenarkan berada di jalan raya,” katanya dalam audio siar PodX Utusan Malaysia, semalam.
Mengulas lanjut, Mohammad Kifli berkata, warga asing yang dikenakan saman bukan sahaja terdiri daripada pelancong, malah turut membabitkan pekerja asing di negara ini.
Menurut beliau, terdapat warga asing yang memandu kenderaan di Malaysia tanpa mengikuti kelas pemanduan yang sah dan mereka masih menganggap peraturan jalan raya di negara ini sama seperti di tempat asal.
“Apabila mereka membawa kenderaan, mereka tidak mematuhi peraturan dan menganggap seolah-olah undang-undang negara kita ini sama seperti undang-undang mereka.
“Disebabkan perkara itu, kita mengambil pendekatan memperkenalkan Op PeWA dengan mengambil tindakan terhadap warga asing melakukan kesalahan jalan raya,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, usaha penguatkuasaan tidak berkesan sekiranya tidak mendapat kerjasama pemilik kenderaan yang menyewakan kenderaan kepada warga asing.
“Kita sekat punca berlakunya masalah ini. Puncanya ialah rakyat Malaysia jangan membenarkan kenderaan mereka disewa dan digunakan oleh warga negara asing.
“Kenapa mereka masih berada di atas jalan raya? Kerana pengkhianatan, sabotaj dan sikap pentingkan diri sendiri oleh warga negara Malaysia, ia hanya segelintir, bukan semua.
“Segelintir yang menyewa kenderaan kepada warga negara asing demi sedikit keuntungan. Perkara inilah yang perlu kita atasi,” jelasnya.
Mohammad Kifli berkata, beliau mengarahkan seluruh JPJ negeri termasuk di Semenanjung, Sabah dan Sarawak menjalankan pemeriksaan terhadap setiap pemandu warga negara asing yang ditahan.
Katanya, antara kesalahan yang dikesan termasuk penggunaan motosikal untuk membawa barangan seperti besi buruk dan barang terpakai sehingga menimbulkan rungutan pengguna jalan raya lain.
Menurutnya, berdasarkan siasatan JPJ, terdapat warga negara asing yang tidak mempunyai lesen memandu atau Lesen Kenderaan Barang-barangan (GDL) tetapi masih menggunakan kenderaan di jalan raya.
“Perkara-perkara ini menimbulkan rungutan dan membawa masalah kepada pemandu-pemandu yang sah yang berada dalam negara,” ujarnya.
Katanya, unit risikan JPJ turut mengenal pasti lokasi yang menjadi tumpuan pemandu warga negara asing di seluruh negara termasuk Kedah, Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak.
“Dari segi bidang kuasa JPJ, kami hanya boleh mengambil tindakan terhadap pemandu dan kenderaan itu sendiri. Tetapi sekiranya warga negara asing itu tidak mempunyai permit atau tinggal lebih masa, kita terpaksa serahkan kepada Jabatan Imigresen,” katanya.-UTUSAN











