31 tahun menabur jasa, Cikgu Khalipah tinggalkan SK Mentera

31 tahun menabur jasa, Cikgu Khalipah tinggalkan kenangan abadi alam perguruan SK Mentera

Cikgu Khalipah Salleh (tengah) bersama guru besar dan para pentadbir sebelum meninggalkan alam perguruan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sekolah Kebangsaan (SK) Mentera merakamkan penghargaan buat guru prasekolahnya, Khalipah Salleh, menerusi Majlis Kasih Disemai, Kenangan Dituai yang berlangsung penuh emosi di Dewan Aman Perdana, baru-baru ini.

Majlis tersebut menghimpunkan guru dan murid bagi meraikan Khalipah yang telah menabur bakti dalam dunia pendidikan selama lebih tiga dekad. Ketibaan beliau diraikan menerusi perarakan masuk ke dewan sebelum Guru Besar SK Mentera, Ruzaini Ab Sattar, menyarungkan selempang sebagai simbol penghargaan terhadap jasa dan pengorbanannya.

Suasana bertambah syahdu apabila murid berusia 11 tahun, Ahmad Fahim Wafiyyuddin, mempersembahkan lagu Langkah Seiringan yang menyentuh emosi warga sekolah.
Majlis turut diserikan dengan bacaan doa, ucapan wakil murid, ucapan wakil guru oleh Wan Mariati Wan Mahmood, persembahan tarian dan ucapan Guru Besar.

Ruzaini berkata, jasa Khalipah amat besar khususnya dalam membentuk asas pendidikan dan sahsiah murid prasekolah. Menurutnya, dedikasi, kesabaran dan komitmen beliau bukan sahaja memberi manfaat kepada murid, malah meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh warga sekolah.
“Pemergian Cikgu Khalipah daripada dunia pendidikan bukanlah berakhirnya sebuah jasa, sebaliknya meninggalkan legasi dan kenangan yang akan terus dikenang,” katanya.

Majlis berkenaan bukan sekadar meraikan persaraan, malah menjadi tanda penghargaan terhadap seorang pendidik yang telah mencurahkan tenaga, masa dan kasih sayang dalam membentuk generasi masa depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×