SHAH ALAM: Selangor mengisytiharkan 25 Oktober ini sebagai cuti umum sempena sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, memandangkan tarikh berkenaan jatuh pada Ahad, Isnin, 26 Oktober 2026 ditetapkan sebagai cuti umum gantian.
Menurutnya, sebanyak 20 program dan acara rasmi akan dianjurkan sepanjang tempoh 28 September hingga 1 November ini sebagai tanda taat setia, penghormatan dan penghargaan seluruh pentadbiran serta rakyat Selangor terhadap Sultan Sharafuddin.
“Kesemua program itu telah dipersembahkan kepada Sultan Sharafuddin, meliputi aspek sosial dan keagamaan, kelestarian alam sekitar, pembangunan infrastruktur serta sukan,” katanya dalam kenyataan akhbar.
Beliau berkata, sambutan berkenaan akan dilaksanakan secara sederhana selaras dengan titah Sultan Sharafuddin supaya aspek berhemah dan berjimat cermat diberi keutamaan.
Katanya, sambutan Jubli Perak itu akan diserikan dengan tiga acara utama. –UTUSAN










