CYBERJAYA: Selepas 17 tahun penantian ke pentas akhir, Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) berjaya merangkul juara bagi Bahas Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri Kali Ke-51, hari ini.
Pencapaian itu amat bermakna selepas lebih sedekad SMSS tidak melangkah ke pentas akhir dan berjaya menewaskan pasukan dari Sekolah Menengah Sains Alam Shah (ASIS) dengan usul perbahasan ‘Dewan ini percaya suara murid mampu memperkukuh tadbir urus sekolah’.
SMSS diwakili oleh pembahas tingkatan empat, Ahmad Zikri Wafiy Mohd Rozaini, Muhammad Sharin Syazwi Md. Shariff, Aqeef Amsyar Suhaimi dan pembahas simpanan, Muhammad Amsyar Mohd Sahdan.
Lebih membanggakan apabila pasukan dari sekolah sama, Muhammad Sharin Syazwi berjaya merangkul anugerah pembahas terbaik di peringkat akhir.
Bagi kategori Bahasa Inggeris, Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) muncul juara dan membawa pulang anugerah pembahas terbaik selepas menewaskan Sekolah Menengah Sains Miri.
Kedua-dua pasukan johan membawa pulang hadiah wang tunai RM51,000 berserta piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan, manakala pembahas terbaik menerima RM2,000.
Setiap peserta turut menerima sebuah tablet sumbangan Malaysia Energy Literacy Program (MELP) yang menyokong platform pendidikan dengan memberi ruang kepada anak-anak muda untuk memahami, menilai dan membahaskan isu-isu semasa, khususnya berkaitan sektor tenaga.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui MELP memberikan sokongan dengan menaja hadiah tambahan bernilai lebih RM37,000, berupa 24 unit tablet komputer untuk para finalis dan pembahas harapan pertandingan berkenaan.
Tajaan itu mencerminkan komitmen bersama dalam menyokong pembangunan generasi Madani yang celik tenaga, berilmu, berfikiran kritis, peka terhadap isu-isu semasa berkaitan tenaga serta mampu menyuarakan pandangan secara matang dan berasaskan fakta.










