TVET lahir insan kreatif, inovatif

TVET lahir insan kreatif, inovatif

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail menyampaikan sijil kepada graduan sempena Istiadat Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Utara 2026 di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Arau, Perlis semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berperanan penting melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, kreatif, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Raja Perlis, Tuanku Syed Si­rajuddin Jamalullail bertitah, inovasi bukan lagi satu pilihan dalam dunia yang sentiasa berubah, tetapi asas kemajuan dan daya saing negara.

Titah baginda, perkemba­ngan teknologi seperti kecerdasan buatan (Al), automasi, robotik dan pendigitalan me­ngubah landskap pekerjaan dan industri pada masa sekarang.

“Saya berharap budaya inovasi terus dipupuk dalam kala­ngan warga Politeknik dan para graduan.

“Ia bukan sekadar mencetuskan idea baharu, tetapi menterjemahkan idea kepada penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat dan menyum­bang kepada pembangunan negara,” titah baginda sempena Istiadat Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Utara 2026 di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di sini semalam.

Konvokesyen berlangsung se­­hingga Ahad ini, membabitkan 6,104 graduan Politeknik dan Kolej Komuniti dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Titah baginda graduan tidak seharusnya mengabaikan nilai murni iaitu ilmu dan kemahiran dengan dipandu akhlak mulia dan integriti tinggi serta sema­ngat cinta negara dalam mengejar kecemerlangan.

“Graduan cemerlang bukan sahaja dinilai melalui kepakaran dimiliki, tetapi juga melalui kejujuran, amanah dan keperibadian.

“Teruslah melangkah dengan penuh keyakinan, memanfaatkan ilmu dan kemahiran dimiliki dan menjadi insan bermanfaat kepada masyarakat, negeri dan negara,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×