BESUT: Demi meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga, seorang bekas pekerja mahir pembinaan di Singapura sanggup meninggalkan pendapatan lumayan dan membina kerjaya sebagai pengusaha bot gentian kaca, di sini.
Nasarudin Hussin, 43, dari Kampung Baharu berkata, keputusan itu dibuat selepas hampir sedekad bekerja di Singapura bermula 2003 sebelum kembali menetap di tanah air pada 2012.
Katanya, minatnya terhadap pembuatan bot gentian kaca bermula sebaik sahaja tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2001 apabila dia belajar menghasilkan bot ketika bekerja di sebuah tempat pembuatan bot di Dungun.
“Saya bekerja di Dungun selama dua tahun sebelum ke Singapura sebagai pekerja mahir pembinaan. Walaupun pendapatan ketika itu agak lumayan, saya memilih pulang kerana mahu lebih dekat dengan keluarga.
“Saya memulakan perusahaan pembuatan bot di Besut pada 2013, iaitu kampung halaman isteri selepas dicabar seorang rakan yang yakin dengan kemahiran saya. Memandangkan sudah mempunyai asas membuat bot, saya sahut cabaran itu dan mula berniaga sendiri,” katanya ketika ditemui di Kampung Baharu.
Nasarudin berkata, penghasilan bot fiber memerlukan modal besar berikutan kos bahan mentah yang semakin meningkat.
Katanya, setiap bot dihasilkan menggunakan acuan khas yang dibuat sendiri bagi memastikan mutu dan ketahanan produk.
“Prosesnya pembuatan bot ini bermula dengan penyediaan acuan, membuat lapisan resin khas yang disapu pada bahagian luar produk gentian kaca dan selepas ia kering dalam tempoh beberapa hari, bot berkenaan dicat mengikut warna yang diminta pembeli.
“Setiap bulan saya dapat hasilkan dua atau tiga buah bot berdasarkan saiz iaitu antara 10 hingga 24 kaki,” katanya.
Dari sudut harganya pula bergantung kepada saiz dan spesifikasi bot iaitu bermula sekitar RM1,300 sehingga RM20,000 sebuah. – UTUSAN











