Senam Sihat Madani Merdeka digerakkan serentak di 1,098 NADI

Senam Sihat Madani Merdeka digerakkan serentak di 1,098 NADI

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Senam Sihat Madani Merdeka 2026 akan digerakkan secara serentak di 1,098 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) seluruh negara sempena sambutan Bulan Kebangsaan, dengan sasaran penyertaan melebihi 50,000 peserta.

Inisiatif yang dilancarkan oleh Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), Kementerian Komunikasi, Datuk Aminurrahim Mohamed bersempena Program Madani Kita (PMK) Larkin turut menyasarkan pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi penyertaan serentak melalui rangkaian Nadi di seluruh negara, selain menghimpunkan komuniti menerusi aktiviti kecergasan yang mempromosikan gaya hidup sihat, kebersamaan dan semangat perpaduan.

Karnival ini merupakan antara inisiatif di bawah teras Kesejahteraan Kendiri dalam Perkhidmatan Pintar NADI yang menggalakkan komuniti membudayakan gaya hidup aktif serta menjaga kesihatan diri dan keluarga.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pelaksanaannya melalui 1,098 NADI di seluruh negara membolehkan mesej dan aktiviti kesejahteraan komuniti diperluaskan hingga ke peringkat akar umbi.

Usaha memperkasa kesejahteraan komuniti turut diketengahkan menerusi penganjuran PMK Larkin dengan penyediaan pelbagai perkhidmatan percuma kepada masyarakat setempat, termasuk saringan kesihatan asas, pemeriksaan pergigian serta saringan risiko kesihatan jantung menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Kemudahan ini membantu meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan masyarakat serta menggalakkan pengesanan awal risiko kesihatan agar tindakan susulan dapat diambil lebih awal jika diperlukan.

Sehingga kini, seramai 137,254 peserta di seluruh negara telah mengikuti program di bawah teras Kesejahteraan Kendiri. Di Johor Bahru pula, seramai 245 peserta telah menerima manfaat daripada program dan aktiviti saringan kesihatan yang dilaksanakan melalui NADI setakat ini, mencerminkan sambutan positif masyarakat terhadap inisiatif yang menggalakkan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan komuniti.

PMK Larkin merupakan lokasi ketiga dalam siri penganjuran Program Madani Kita yang diselaraskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi NADI, selepas Permatang Pauh dan Nibong Tebal, dalam usaha mendekatkan pelbagai perkhidmatan dan inisiatif Kerajaan MADANI kepada rakyat di seluruh negara.

Program seperti Senam Sihat Madani Merdeka memperlihatkan peranan NADI yang semakin berkembang sebagai platform komuniti yang bukan sahaja menyediakan akses digital, malah menyokong pelaksanaan inisiatif yang membawa manfaat secara langsung kepada rakyat, termasuk dalam aspek kesihatan, kesejahteraan dan pembangunan komuniti di peringkat akar umbi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN