Semacam metafora

Semacam metafora

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Entah mengapa debar jantungku semakin mengencang hari ini. Sedangkan aku yang beria-ia hendak menemui mereka. Dan mereka juga telah bersetuju untuk menerimaku kembali. Bertemu setelah sekian lama aku dihalau dan dipulau oleh semua ahli keluargaku. Walaupun aku dibuang daripada famili, ingatanku pada mereka tetap berpaut di tangkai hati.

Begitulah ghalibnya. Pertalian antara ibu dan anak tidak akan putus biarpun kini kami berlainan ideologi dan agama. Peganganku kini tidak pernah membezakan status itu untuk memusuhi ayah dan ibu kandung.

Aku melangut sendiri memandang saujana logamaya sepanjang perjalanan ke pekan halamanku. Suamiku pula seakan memahami gejolak di minda. Sengaja dia tidak mengganggu emosiku yang sedang celaru.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perkenalanku dengan Rizki berlangsung sekian lama tanpa membibitkan rasa cinta pun.

Cuma ketika aku rasa mirip ke arah Islam, dia banyak membantu. Memperkenalkanku dengan Ustazah Lya yang banyak memberi pencerahan tentang persoalan yang kuperap sekian lama. Dialah yang menghadiahi telekung cantik untuku memulakan solat.

Biar pun asalnya kami hanya berkawan dan tiada perasaan pun tercetus. Apa lagi aku cuba menafikan anggapan bahawa mereka yang memeluk Islam itu semata-mata kerana cinta. Namun ini kerja Tuhan. Cinta kami berputik selepas aku benar-benar mencintai Islam.

‘Ah, bagaimanakah penerimaan mama dan papa,’ runut hatiku bermelodi sendiri. Sambil sesekali melirik ke wajah suamiku yang kelihatan tenang. Tenang sekali. Ketenangan kolam wajahnya itulah yang membuatkan aku tewas jatuh cinta juga akhirnya.

Memang aku perlukan seseorang peneman yang setenang dia ketika badai ganas membaham tebing ketabahanku. Dan Rizki pilihan paling tepat.

Kunjunganku makin sampai ke destinasi. Sanggar di mana aku pernah membesar dan menjadi dewasa. Masih agam seperti dahulu. Tidak banyak berubah. Mungkin kerana mama dan papa telah berusia dan tepu dan mendekorasi kawasan ujana.

Dahulu memang mama suka mengubah suai tatarias rumah dan landskap taman. Ada sahaja inovasi yang mereka buat ke atas pergola dan gazebo di ujana. Begitu juga dengan pokok-pokok orkid yang selalu bertambah.

ii

Benar, manusia ini terlalu naif. Tidak pernah mampu mentafsir paradoks yang Maha Pencipta nukilkan. Biar sudah bijak benar rasanya para sasterawan memain majaz aneka peri. Dari semudahnya aliterasi. Namun masih gagal kira memahami tamsil estetika Tuhan.

Langsung tidak terpancar di puncak minda, bagaimana petaka Korona yang menjadi punca galau sekian benua bisa menjadi perubah suasana. Tidak juga terjangkau di jemala keluarbiasaan yang terjadi ekoran seksa yang melanda menjadi penawar paling mujarab. Segalanya bisa kun fayakun.

Beberapa hari sebelum umat Islam merayakan hari kemenangan akbar, kami digemparkan dengan gegaran mortar, bom dan segala bedil memenangi lazuardi Gaza. Hati semua umat Islam direnggut rakus. Namun tiada mampu mengacu muncung senjata ke arah jazirah laknatullah.

Kami hanya mampu berduka, memanjatkan doa dan membina empangan air mata yang kemudian tumpah dengan derasnya. Sakit hati, geram dan marah hanya menjadi dalil di hati tikus. Ya Allah, ampuni kami yang hanya mampu melihat saudara seagama dikupas kulitnya hidup-hidup.

Pelbagai bunyian dari runtuhan binaan, derap kaki berladam besi, mahupun jeritan mergastua yang memohon empati silih berganti. Segalanya menjadi saksi hutan batu bata dan monumen yang dibina penuh payah, hancur satu per satu menyembah bumi.

Aku hulurkan juga sekupang dua sebagai proksi rasa simpati dan empati yang tidak terbayang. Hanya ini yang aku mampu, ya Allah. Hanya cebisan nota dari rangkaian medsos untuk turut merasai pedihnya luka dibedil peluru Zionis.

Selari dengan itu juga, aku tidak tahu sebesar mana kuasa-Mu Tuhan hingga menjadikan citra hari ini sesuatu yang amat bermakna bagi diriku. Damba yang telah sekian detik aku tagih bermakam bersama degilnya Covid-19 minggir dari sarwagat ini. Sama persis dengan doa yang kutitipkan buat kesejahteraan tentera Hamas dan al-Quds dalam membela tanah suci ketiga umat Islam itu.

Satu dasawarsa bukan tempoh singkat untuk melupakan memori bersama keluarga. Bukan pula pantas untuk mengganti dengan memorabilia nostalgia. Namun mereka berpuluh dekad disakiti.

“Papa, Cat telah dewasa dan ada hak kebebasan sendiri. Izinkanlah Cat mencari hala tuju untuk hidup, papa,” aku cuba mempertahankan dengan menjerat minda papa melalui dasar ‘human rights’ yang beliau perjuangkan.

Papa diam. Mungkin menganalisis dengan penuh kritikal hujahku. Sesekali kulihat mama memicit-micit bahu papa. Aku lega juga ketika melihat mereka tetap mesra, tidak terganggu dengan asakanku.

Lama juga masa berjeda. Aku kira, keadaan akan menjadi lebih kondusif untuk aku membentangkan agenda. Namun sebaliknya. Tanpa bidasan hujah dan fakta, papa lontarkan beg pakaianku yang telah lama disiapkan rupanya.

Aku kaget seketika. Memandang sayu ke arah mama. Aku tahu hati mama lebih lunak daripada papa. Namun tiada reaksi daripada papar wajahnya yang bersahaja. Mungkin papa sudah basuh minda mama sebelum ini. Aku mengalah.

Perlahan aku mendekati mama memohon restu dan menyalami buat kali terakhir barangkali. Syukur, masih juga ada balasan daripadanya. Namun tidak bagi papa. Dia terus menghilangkan diri ke kamar usai menghamburkan amarahnya.

III
Sah! Aku jadi anak gelandangan tanpa suaka. Aku dihambat dari sanggar sendiri ibarat rakyat Palestin yang dihalau dari tanah airnya.

Buat seketika memang aku panik dan nanar. Tidak tahu apa-apa untuk kulakukan. Nombor telefon kenalan juga puas aku gelintar, tidak pasti siapa yang harus kuhubungi. Tidak mungkin aku jejaki Rizki yang menjadi salah satu asas kemarahan papa. Tentu akan lebih meyakinkannya nanti bahawa kerananyalah aku mendekati Islam.

Alhamdulillah, di Kampung Lebai Saras ini, aku bertemu Ustazah Lya yang menjadi lentera imanku. Aku memilih bermukim di pondoknya buat beberapa ketika tanpa limitasi. Waktu berhibernasi itu, aku kian akrab dengan keluarganya dan bisa mendalami lagi ilmu faham.

Begitu pantas waktu berlalu. Seakan baharu semalam kenangan itu terjadi. Kepayahan sebagai anak buangan dan pengorbanan melawan tohmah sepanjang bersendirian, menjadikan jiwaku kian kental.

“Dah sampai, sayang.” Suamiku menyapa lembut. Aku sengaja melambatkan jawapan. Pandanganku terkunci pada gerbang pagar yang tertutup rapi seakan tidak menerima kehadiran tamu bernama aku.

“Erm…ye, bang..?” Aku berpura. Kereta diparkir betul-betul di hadapan pintu utama.

Nuansa keliling laman rumah sederhana itu kulihat penuh ingat. Jajaran bonsai aneka variasi ala ‘shakan’ dan ‘ kengail’ dari kombinasi bourgenvile dan santalia, masih kekal menghuni ujana. Akulah yang membantu papa mencantas dan merapikan susunan ranting pohonan itu. Menjadikan riadah kami penuh bersantai dan damai.

Gementar kembali membadai. Benarkah apa yang mama utuskan lewat mesej personal ringkasnya minggu lalu, bahawa dia sudah menerimaku? Aku tidak sangka dia rela menyelinap laman Facebookku yang menjadi asas garis temu Bagaimanakah penerimaan papa yang memang ortodoks ideologinya itu?

Kalau pun mama sudah sudi memaafkanku atau sedar kesilapannya, mampukah aku menghadapi taufan cemuhan dan kritikan tajam papa. ‘Ah, jomlah bang balik! Tak jadi singgahlah,’ dalihku sendiri.

Dari jauh mersik sayu gema azan Asar dari rumah jiran yang majoritinya Islam. Hanya rumah kami sahaja di situ bangsa asing. Namun keluarga kami tidak pernah rasa tersisih kerana ciri kejiranan yang amat kuat dalam komuniti itu.

Suamiku tekan loceng. Hatiku makin dijetak-jetak. Gemuruhnya sampai ke perutku yang telah memboyot itu berombak kencang. Jangkanya awal bulan ketiga ini akan menobatkan aku sebagai bonda.

Kami menunggu tuan rumah tanpa sebarang salam. Lama juga detik momen itu bertingkah dengan degup jantungku.

Daun sebelah kiri gapura berukir indah, terdedah. Seorang wanita kategori warga emas terjenguk, seraya melafaz ucap sambil segemal senyum membongkar misteri.

“Assalamualaikum, anak mama!” Ah, semakin kencang larian nadiku, seakan meluruh bagai pantai-pantai meruntuh. Papan wajahku entah bagaimana tah reaksinya tika itu. Yang pasti mulutku terkunci, mataku terpateri, ditelan gulungan ombak tsunami. Mataku tidak kedip menatap wajah suri teladan pegun di hadapan.

“Wa.. wa alaikumus salam…mama,” terletus jua susun aksara yang hilang premis diksi beberapa ketika tadi. Spontan tangannya ku sauk dan tubuhnya yang kian melidi kupeluk. Niagara terjun dari retina mataku, di tubir matanya juga. Kami saling berbalas esakan.

“Mama.. ya Allah!” frasa itu menggambarkan segala-galanya. Gemersik suara azan yang tadinya sayup-sayup kedengaran kian menujah kuat ke gegendang telingaku, melatari segmen itu. Kejutnya aku kira alunan itu datang dari ruang studio yang dulunya ‘port’ papa berkaraoke.

Kami mendarat di kerusi tamu. Aku baru tersedar untuk bertanyakan di mana papa. Sejenak muncul wanita, bibik barangkali, melabuhkan air dan penganan. Soalku tersimpan seketika apabila sopan mengiringi mama mencicip secawan teh Cameron yang hangat mewangi.

“Papa telah dijemput kembali oleh Yang Maha Penyayang,” lirih suara mama. Angin kesedihan menyinggahi pula tebing nurani. Oh, alangkah berdosanya aku tidak berada di sisimu di saat genting itu. Kesal kerana tidak sempat mengutusi bayu keinsafan dan mengajarkan kalimah suci.

Namun aku sempat mencuri pandang ke mandala ruang rehat yang dulu menempatkan potret John Calvin. Hampir tidak percaya, tapi itulah kuasa-Nya. Paparan imej ceria mama dan papa berbusana umrah menghiasi tempekan ‘wallpaper’. Allahuakbar! Segunung kesyukuran ya Allah aku panjatkan pada-Mu. Nyata tahajud dan hajatku sekian lama, Kau kabulkan bersama lembayung kesabaranku.

IV
Hatta sepuluh tahun aku terpenjara dalam sangkar kebimbangan dan penyesalan. Namun hari ini Kau bebaskan aku untuk meraikan suatu kemenangan. Fitrah yang tidak pernah aku hitung akan mendapat sejumlah anugerah begini agung.

Semoga ini jadi simbol aksara intifadah yang dilancarkan Hizbullah, al-Quds, Hamas dan al-Fatah serta sekutu yang memahami denyut nadi perjuangan ke atas laknatullah. Bangsa yang tidak pernah puas meratah daging mulus anak-anak Palestin.

Hatiku bagai direnggut tatkala alunan takbir yang kian sayu, mengingatkanku akan onomatopeia picu artileri, larian dan raungan mangsa pembunuhan kejam mereka.

Sedang di sini, Malaysia tanah airku, kami hanya dengar bunyi-bunyi yang mendamaikan, syahdu dan melambangkan kebahagiaan.

Rabiulawal muncul. Bulan kelahiran Nabi junjungan. Semoga membawa makna kepada kelahiran zuriatku nanti dan kembalinya aku ke pangkuan mama.

Pengorbananku tidak setara mana untuk menghadirkan sinar Islam kepada kedua orang tuaku. Namun Allah sampaikan jua impiku. Barangkali berkat doa yang tidak pernah lekang dari bibirku saban kali usai solat menjadi senjatanya.

Ya, hanya melodi doa kulampirkan seiring letupan mortar bergema, agar kalian para pejuang terus tekal memburu jannah. Penuh harap agar doaku yang ini juga bakal dimakbulkan Tuhan. Menjadi metafora cinta melepasi puncak ancala. Amiin.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini