Saya mohon maaf atas kekalahan di Chennah - Anthony Loke

Saya mohon maaf atas kekalahan di Chennah – Anthony Loke

ANTHONY Loke Siew Fook dan kepimpinan tertinggi bergambar bersama perwakilan pada Persidangan Parti DAP 2026, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, memohon maaf kepada para perwakilan susulan kekalahan beliau mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan lalu.

Beliau berkata, kekalahan itu amat mengecewakan namun matlamat utama bertanding di kawasan berkenaan bukan semata-mata untuk kemenangan peribadi.

Menurutnya, beliau mahu membuktikan DAP mampu memperoleh sokongan pengundi berbilang kaum dan memenangi kerusi di kawasan majoriti pengundi Melayu.

“Saya memohon maaf kepada para perwakilan di atas kekalahan di DUN Chennah.

“Saya mengakui misi itu tidak berjaya apabila DAP tidak memperoleh sokongan tinggi daripada pengundi Melayu di kawasan tersebut. DAP hanya memperoleh sekitar 20 hingga 25 peratus sokongan pengundi Melayu, selain gagal mendapatkan sokongan tinggi daripada masyarakat Orang Asli.

“Keadaan itu menjadi cabaran besar kepada DAP dalam usaha menembusi tembok politik berasaskan kaum yang masih wujud dalam negara. Cabaran berkenaan bukan perkara baharu kerana DAP berdepan persoalan sama sejak dekad 1970-an sehingga hari ini,’ katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Persidangan Kebangsaan DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Anthony Loke sehubungan itu menyeru seluruh anggota dan aktivis parti supaya menjadikan kekalahan itu sebagai pengalaman untuk terus bergerak ke hadapan.

Katanya, DAP sudah melalui pelbagai kekalahan sepanjang tempoh 60 tahun perjuangan namun parti tidak akan pernah berputus asa.

“Saya ingin menegaskan kekalahan dalam beberapa pilihan raya tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada DAP untuk meneruskan usaha mendapatkan sokongan lebih luas.

“Selagi anggota parti tidak berputus asa dan terus berpegang kepada idealisme, saya yakin DAP akhirnya akan diterima majoriti rakyat Malaysia,” katanya.

//HABIS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×