90 warga Polis Kedah terlibat kes tatatertib termasuk dadah

90 warga Polis Kedah terlibat kes tatatertib termasuk dadah

ADZLI Abu Shah menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota polis pada Perhimpunan Bulanan dan Program Flag-Off Kibar Bendera Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-69 di IPK Kedah, hari ini - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis Kedah membuka 69 kertas siasatan tatatertib yang melibatkan 90 individu termasuk pegawai dan anggotanya disyaki terlibat pelbagai kesalahan sehingga Jun tahun ini. 

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, individu terlibat terdiri daripada 11 pegawai kanan polis (PKP), 76 pegawai rendah polis (PRP) dan tiga pegawai awam (PA). 

Katanya, berbanding tahun lepas sebanyak 155 kertas siasatan dibuka yang melibatkan 294 individu terdiri daripada 39 PKP, 248 PRP dan tujuh PA. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namun sehingga Jun lalu baru 90 kes, memang nampak penurunan tetapi ia masih lagi membimbangkan,” katanya pada Program Flag-Off Kibar Bendera Sambutan Hari Kemerdekaan ke-69, di sini hari ini. 

Beliau berkata, keseluruhan kes yang direkodkan melibatkan komersil, rasuah, jenayah syariah, dadah, trafik serta pelbagai kesalahan tatatertib lain. 

“Daripada jumlah kertas siasatan dibuka, kesalahan jenayah berjumlah 33 kes. Jenayah komersial (4), jenayah syariah (3), rasuah (7), dadah (24) kes selain kesalahan trafik dan lain-lain,” katanya. 

Tambah beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengambil tindakan tahan kerja, gantung kerja dan buang kerja kepada individu terlibat tanpa mengira pangkat. 

“Tahan kerja sahaja 67 orang dari 2021 sehingga Jun lalu melibatkan pegawai kanan hingga pegawai rendah. Daripada jumlah ini, kesalahan dadah paling ramai iaitu 25 orang, jenayah (19), rasuah (16), syariah (tiga), trafik (dua) dan lain-lain. 

“Gantung kerja adalah seramai 10 orang daripada tempoh 2023. Sementara tindakan buang kerja melibatkan 10 individu terdiri empat kes salah laku, tiga kes rasuah, dua dadah dan satu kes syariah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN