PETALING JAYA: Perdana Menteri hari ini berkesempatan menziarahi tiga tokoh ulama besar dunia Islam yang kini berada di Malaysia.
Katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini, kunjungan tersebut dibuat di celah kesibukan jadual harian bagi berkongsi ilmu dan hikmah, di samping menyemarakkan syiar Islam di tanah air.
Mereka ialah Tokoh Ulama Hadis Mesir, Al-Fadhil Al-Allamah Al-Muhaddith Syeikh Dr. Mustafa al-Nadwi Al-Hasani; Syeikh Qurra’ Dunia, Al-Fadhil Al-Allamah Al-Muqri’ Syeikh Dr. Ahmad Isa Al-Ma’sarawy dan Grand Custodian bagi Wakaf Masjid dan Maqam Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani, Al-Fadhil Al-Syeikh Maulana Al-Sayyid Afeefuddin Al-Jailani.
“Kesempatan ini saya gunakan untuk bertanya khabar, memohon nasihat dan doa, serta merakamkan penghargaan atas kesudian mereka hadir berkongsi ilmu dan hikmah, di samping menyemarakkan syiar Islam di tanah air.
“Semoga kunjungan para ulama’ ini menjadi asbab bertambahnya ilmu, keberkatan dan kecintaan kepada agama, serta memperkukuh usaha kita membina masyarakat yang berakhlak, berilmu dan hidup dalam keharmonian, insyaAllah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri turut menzahirkan perasaan tersentuh kisah M. Kavita yang lebih 12 tahun meredah panas dan hujan sebagai pekerja pembersihan demi membesarkan lima anak.
Beliau berharap agar Kavita diberi kekuatan dan penghormatan selayaknya dalam menjalankan tugasnya sebagai warga kerja pembersihan.
“Alhamdulillah, segala penat lelah dan pengorbanannya terbalas apabila kelima-lima anaknya berjaya dalam bidang masing-masing. Pengorbanan beliau turut dihargai menerusi Anugerah Khas dalam Majlis Apresiasi Hari Pekerja Pembersihan SWCorp.
“Semoga saudari Kavita dan seluruh warga pekerja pembersihan terus diberikan kekuatan, kesihatan dan penghormatan yang selayaknya. Terima kasih atas segala bakti dan keringat dalam menjaga kebersihan serta kesejahteraan kita semua,” katanya. – UTUSAN











