PETALING JAYA: Pasukan risikan bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) diperkukuh bagi mengesan kemungkinan kemasukan ejen atau individu yang mempunyai kaitan dengan Barisan Revolusi Nasional (BRN) ke Malaysia susulan perkembangan terbaharu pergolakan di selatan Thailand.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, penugasan itu melibatkan kawasan sempadan dari Perlis hingga Kelantan, dengan tumpuan khusus diberikan kepada Kelantan.
“Kita akan terus memperkukuhkan penugasan. Kita telah menambah anggota, anggota risikan dan aset di kawasan yang dikenal pasti berisiko berlaku pencerobohan atau penyeludupan barangan terlarang,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Bagaimanapun, Mohd Yusri berkata, maklumat risikan berkaitan individu tertentu, termasuk maklumat yang dikongsi antara pihak berkuasa Malaysia dan Thailand, tidak dapat didedahkan kepada umum.
“Kita mempunyai pasukan risikan sendiri daripada PGA untuk menjalankan tugas dalam bidang kuasa kita.
“Kita akan bekerjasama dengan jabatan dan agensi lain, termasuk Angkatan Tentera Malaysia,” jelasnya.
Mohd Yusri berkata, situasi keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand masih terkawal susulan lawatannya ke kawasan sempadan di utara negara.
Jelasnya, peningkatan penugasan itu dibuat selepas pihak berkuasa Thailand percaya terdapat kemungkinan ejen atau individu yang dikaitkan dengan BRN telah memasuki Malaysia susulan serangan terbaharu di selatan Thailand.
“Kita turut menerima maklumat termasuk senarai individu yang dikehendaki pihak berkuasa Thailand dan sedang menilai sama ada perkembangan di seberang sempadan itu boleh menimbulkan ancaman keselamatan kepada Malaysia, khususnya Kelantan,” jelasnya.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata pihak polis dan tentera Thailand meminta bantuan Malaysia untuk mengesan ejen atau individu yang dikaitkan dengan BRN dan dipercayai telah merentasi sempadan.-UTUSAN











