KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 3 September ini bagi pendengaran permohonan penangguhan prosiding kes rasuah membabitkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin.
Tarikh itu ditetapkan Hakim Suzana Hussin selepas pihak pembelaan memaklumkan mereka telah memfailkan permohonan itu pada 26 Ogos lalu (semalam).
“Memandangkan permohonan telah difailkan, saya masih perlu menetapkan satu tarikh untuk mendengarnya tetapi saya akan beri tarikh yang sangat singkat,” katanya.
Shamsul Iskandar memohon penangguhan itu sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung permohonan untuk memindahkan kes rasuah berkenaan ke Mahkamah Tinggi.
Pada 28 April lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Noor Ruwena Md Nurdin menolak permohonan Shamsul Iskandar dengan memutuskan beliau selaku pemohon tidak memenuhi syarat mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.
Peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, pihaknya telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan dan rayuan terbabit ditetapkan untuk pendengaran pada 19 Januari 2027.
“Permohonan tersebut telah pun didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Noor Ruwena Md Nurdin dan telah ditolak.
“Susulan daripada itu, pihak kami memfailkan satu notis rayuan yang sehingga kini sedang dalam perhatian Mahkamah Rayuan. Tarikh pendengaran tersebut telah diberikan pada 19 Januari 2027,” kata peguam itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan mengesahkan pihaknya telah menerima permohonan tersebut selain tiada bantahan untuk perkara itu.
“Kami baru sahaja menerima permohonan itu. Saya sahkan tiada bantahan daripada pihak kami,” katanya.
Dalam pada itu, mahkamah turut membenarkan kehadiran Shamsul Iskandar dikecualikan pada tarikh berkenaan selepas tiada bantahan daripada pihak pendakwaan.
Pada 4 Disember 2025, Shamsul Iskandar, 51, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima wang tunai RM100,000 daripada ahli perniagaan Albert Tei sebagai dorongan untuk membantu syarikat Tei mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Beliau juga dituduh menerima RM40,000 secara tunai bagi tujuan sama, serta perabot dan peralatan elektrik masing-masing bernilai RM14,580 dan RM22,249.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya; di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin di sini; serta di Jalan P14A 1/1, Presint 14, Putrajaya, antara 7 Dis 2023 hingga 31 Jan 2024, serta antara 24 Nov 2023 hingga 5 Mac 2024.
Bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu juga turut didakwa atas pertuduhan menerima RM64,924 dalam bentuk bayaran sewa daripada Tei sebagai dorongan untuk membantu firma yang mempunyai kepentingan Tei mendapatkan kelulusan sama.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.-UTUSAN










