Pembekalan baja Nafas pada MADA ikut jadual

Pembekalan baja Nafas pada MADA ikut jadual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) melalui anak syarikatnya, Malaysian NPK Fertilizer Sdn. Bhd. (MNFSB), berjaya memperoleh kontrak bagi pembekalan Baja Sebatian Padi 1 dan Baja Urea bagi Kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di bawah skim ditetapkan.

Bagi pembekalan Baja Urea, MNFSB telah berjaya menyelesaikan 100 peratus pembekalan lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan, dengan sebanyak 8,275 metrik tan bersamaan 413,750 beg Baja Urea telah dihantar kepada stokis yang ditetapkan, iaitu Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Nafas memaklumkan pembekalan tersebut telah diselesaikan sepenuhnya pada 31 Julai lalu, iaitu hanya dalam tempoh 23 hari selepas Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan pada 1 Julai.

“Pembekalan ini juga diselesaikan lebih awal berbanding tarikh 7 Ogos yang dinyatakan sebagai tarikh jangkaan lengkap penghantaran Baja Urea bagi kawasan MADA.

“Bagi Baja Sebatian Padi 1, jumlah keperluan yang ditetapkan adalah sebanyak 22,117.46 metrik tan dan keseluruhan keperluan tersebut telah diselesaikan melalui penghantaran kepada stokis yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan isu kelewatan pembekalan baja ketiga atau tambahan menjejaskan lebih 60,000 pesawah di kawasan MADA yang berdepan risiko kemerosotan hasil sehingga 50 peratus.

Justeru, Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Suara Tani Malaysia akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kelewatan pembekalan selain isu kualiti baja tambahan tersebut yang mendapat rungutan kebanyakan pesawah.

Pada masa sama, Nafas menjelaskan isu pembekalan Baja Sebatian Padi 3 bukan diuruskan atau dilaksanakan oleh Nafas mahupun MNFSB.

Jelas kenyataan itu, sebarang isu atau kelewatan berkaitan pembekalan Baja Sebatian Padi 3 tidak berada di bawah skop kontrak atau tanggungjawab Nafas dan MNFSB.

“Penjelasan ini dibuat bagi memberikan gambaran yang tepat mengenai skop kontrak dan tanggungjawab Nafas melalui MNFSB, sekali gus mengelakkan sebarang kekeliruan berhubung penglibatan Nafas dalam pembekalan input pertanian di kawasan MADA,” katanya.

Pada masa sama, Nafas memahami kelancaran bekalan input pertanian mempunyai kaitan langsung dengan aktiviti penanaman, produktiviti serta kebajikan pesawah.

Sehubungan itu, katanya, Nafas bersedia untuk terus menjadi solution partner kepada pihak kerajaan dalam membantu mencari penyelesaian terbaik terhadap sebarang isu dan kebimbangan yang dihadapi oleh golongan pesawah.

“Komitmen ini selaras dengan peranan Nafas dalam menyokong agenda keterjaminan makanan negara, di samping memastikan kepentingan dan kebajikan peladang serta pesawah terus diberi perhatian.

“Nafas akan terus memberikan kerjasama kepada pihak Kerajaan, MADA dan agensi berkaitan bagi memastikan rantaian bekalan input pertanian dapat dilaksanakan dengan sebaiknya demi kepentingan pesawah dan kelangsungan sektor padi negara,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×