TERLETAK di luar bandar, tetapi Sekolah Kebangsaan (SK) Jeransang, Lipis tidak terpinggir daripada aktiviti akademik, koakademik dan kokurikulum apabila seramai 17 orang guru dan 118 orang pelajarnya membuktikan kemampuan menerusi inovasi projek cendawan tiram dan ternakan lebah kelulut.
Projek cendawan tiram merupakan idea guru besar sekolah tersebut, Shabaruddin Awang apabila beliau merancang serta bekerjasama dengan guru sekolah bagi memulakan projek tersebut pada bulan Oktober tahun lalu selepas guru penyelaras projek, Yahaya Sidek mendapatkan khidmat nasihat dan kemahiran daripada seorang pengusaha lebah kelulut di Desa Murni Kerdau Temerloh.

Sebagai susulan projek cendawan tiram, guru besar dan guru di situ juga terus mengusahakan ternakan lebah kelulut yang sedia ada sebelum ini, yang mempunyai nilai komersial dari segi perubatan dan kesihatan.

Bercakap kepada Utusan Pelajar, Shabaruddin yang juga pengerusi projek tersebut memberitahu, menerusi aktiviti berkenaan antara usaha pihak sekolah untuk menerapkan kemahiran sains pertanian dan keusahawanan dalam kalangan murid di situ berasaskan mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Projek ini masih berskala kecil, tetapi sudah cukup untuk membina keupayaan inovasi, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah khususnya dalam usaha merangsang kecemerlangan pendidikan bermula di peringkat sekolah rendah.
“Saya gembira kerana semua guru dan murid khususnya Tahun Empat, Tahun Lima dan Tahun Enam saling bekerjasama memantau dan menguruskan kedua-dua projek ini menerusi jadual tugasan disediakan oleh guru penyelaras,” katanya di SK Jeransang, Lipis baru-baru ini.

Menurut Shabaruddin, pendapatan awal hasil jualan cendawan tiram dan madu lebah kelulut digunakan bagi tujuan menampung kos membeli peralatan, melengkapkan dan menambah bilangan polibeg cendawan dan sarang kelulut, manakala selebihnya membiayai program keceriaan sekolah.
Katanya, pihak sekolah sudah mencongak untuk membesarkan lagi kedua-dua projek komersial itu bertujuan memberikan pendedahan kepada murid mengenai STEM, manakala hasilnya dinikmati bersama kalangan guru dan komuniti setempat.
Dalam pada itu, Yahaya berkata, projek cendawan tiram dimulakan Oktober tahun lalu dengan menyediakan 600 polibeg dan pada awal tahun ini, sudah mencapai 1,200 yang diusahakan dalam bangunan bangsal berdekatan bangunan sekolah.
“Projek ternakan lebah kelulut berdekatan pagar sekolah dengan menempatkan 10 buah (sarang) lebih lima tahun lalu berbentuk tunggul kayu secara semula jadi, tetapi kami telah sesuaikan dengan kotak bersifat komersial.
“Kedudukan sarang kelulut ini berdekatan dengan lokasi yang banyak pokok bunga, redup, ada sumber air, manakala di luar kawasan sekolah juga terdapat tumbuhan berbunga dan tiada musuh semula jadi,” katanya.
Yahaya berkata, penjagaan, pemantauan dan kutipan hasil dilakukan oleh guru dengan bantuan seramai 30 orang murid, Tahun Empat, Tahun Lima dan Tahun Enam secara bergilir-gilir selepas waktu persekolahan mengikut jadual yang diatur.
Katanya, lebih menarik, murid berkenaan sudah mempunyai pengetahuan dan kemahiran mengenai penjagaan cendawan tiram dan sarang madu kelulut serta tahu dengan tugas masing-masing apabila kedua-dua projek berkenaaan berhasil untuk diproses dan dijual.
Beliau berkata, hasil kutipan cendawan diagihkan kepada guru dan komuniti setempat dengan harga Rahmah, iaitu cendawan tiram seberat 250 gram dijual RM5, manakala sebotol madu kelulut seberat 100 mililiter berharga RM20.
Dalam pada itu, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Lipis, Shahnam Abd. Rashid berkata, projek itu merupakan salah satu usaha yang terbaik daripada pihak sekolah dengan menitip kemahiran murid memahami proses menghasilkan cendawan tiram dan madu kelulut.

“Hal ini merupakan satu pendekatan pembelajaran kontekstual, iaitu murid belajar menghubungkan proses tersebut dikaitkan dengan pengalaman dalam kehidupan sebenar mampu menjadikan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) lebih bermakna,” katanya ketika kepada Utusan Pelajar.
Beliau berkata, PPD Lipis sentiasa menggalakkan semua sekolah di daerah ini melibatkan semua aktiviti berbentuk inovasi, kreatif, kritis dan sebagainya bagi mendidik serta mencungkil bakat serta kemahiran pelajar dalam semua bidang berasaskan pelajaran yang diajarkan oleh guru dalam kelas. Sementara itu, pelajar Tahun Enam, Nur Amni Zulaikha Mohd Nazar, 12, berkata, pada awalnya dia cuma melihat tanaman cendawan tiram dan ternakan madu kelulut menerusi buku teks Sains dan mengakses maklumat dalam talian tanpa ada asas kemahiran pengurusan tanaman.
“Tetapi, setelah turut serta sebagai kumpulan petugas, saya memperoleh kemahiran kedua-dua projek ini malah teruja dan seronok pula diberi peluang membantu guru bersama rakan sewaktu menjaga dan memproses hasil,” katanya.
Berkongsi perasaan yang sama, rakannya, Aqilah Umairah Mohd. Hairi, 12, berkata, pengetahuan serta pengalaman menerusi kedua projek itu merupakan landasan baginya mencongak pengajian di peringkat tinggi nanti berasaskan bidang pertanian dan kejuruteraan.
Ujarnya, dia bersyukur kerana memperoleh pengetahuan dan kemahiran daripada kedua-dua projek itu dan berterima kasih kepada guru besar serta guru yang memberikan peluang mereka terbabit sepenuhnya membantu tugas tertentu.-UTUSAN











