PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) 3 September ini, berikutan kadar inflasi negara yang kekal rendah di bawah dua peratus.
Langkah ini diambil meskipun terdapat tekanan untuk menaikkan semula kadar faedah susulan prestasi pertumbuhan ekonomi yang kukuh, berikutan pemotongan 25 mata asas yang dibuat oleh bank pusat itu pada Julai 2025.
Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara mencatatkan 6.0 peratus pada suku kedua 2026, sekali gus meletakkan sasaran tahun ini sebagai tahun ketiga berturut-turut dengan pertumbuhan sekurang-kurangnya 5.0 peratus.
“Pertumbuhan ekonomi yang sangat kukuh mungkin memaksa BNM menaikkan semula kadar faedah tidak lama lagi. Namun, kami tidak berhasrat melihat perkara itu berlaku pada bulan ini.
“Beberapa penganalisis menjangkakan BNM mungkin menaikkan kadar faedah pada mesyuarat November, tetapi kami melihat langkah itu lebih berkemungkinan dilaksanakan pada 2027,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Kashif, pemacu utama dinamisme ekonomi dapat dilihat menerusi jumlah pelaburan diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi suku pertama 2026 yang dijangka mewujudkan 50,226 peluang pekerjaan, meningkat 47 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Mengulas mengenai pasaran perumahan, beliau berkata, kadar faedah pembiayaan hartanah dijangka kekal stabil dalam tempoh terdekat berikutan andaian tiada kenaikan OPR pada September.
“Melihat kepada arah aliran kadar faedah yang dijangka meningkat pada masa depan, kos pembiayaan ketika ini berada pada paras yang lebih rendah berbanding masa akan datang. Pembeli disaran mengunci kadar фаedah bagi tempoh dua hingga tiga tahun untuk mengelakkan perbelanjaan tambahan.
“Bagi pemilik kediaman, mereka boleh mempertimbangkan pembiayaan semula untuk mengurangkan kos bulanan manakala pelabur hartanah disaran memanfaatkan kekuatan ekonomi dengan fokus kepada hasil bersih sewaan yang mampan,” katanya.
Juwai IQI mengunjurkan pasaran kediaman kekal stabil dengan pertumbuhan harga berada pada kadar sekurang-kurangnya 1.0 peratus hingga 3.5 peratus, berfokuskan rumah bertanah yang mudah diakses serta kondominium berhampiran transit awam. – UTUSAN











