Model kewangan Jajaran Rel Selangor sedang diperincikan - Utusan Malaysia

Model kewangan Jajaran Rel Selangor sedang diperincikan

NG Sze Han ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026 di Petaling Jaya hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Selangor sedang memperincikan model kewangan dan model perniagaan bagi merealisasikan projek Jajaran Rel Selangor, yang masih berada pada peringkat awal perancangan.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, aspek pembiayaan dan model perniagaan menjadi perkara paling kritikal ketika ini bagi memastikan projek berkenaan dapat dilaksanakan dengan kaedah yang sesuai serta berdaya maju.

“Sekarang kita dalam proses untuk memastikan kita boleh laksanakan, termasuk model kewangan dan model perniagaan untuk projek ini.

“Pelan awal sebenarnya masih belum lengkap. Jadi, apa yang lebih kritikal sekarang adalah model kewangan dan model perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026 di sini hari ini. 

Jajaran Rel Selangor sebelum ini dikenal pasti membabitkan laluan utama sepanjang 211 kilometer (km) dari Sabak Bernam merentasi Sepang hingga ke Negeri Sembilan, selain beberapa jajaran cabang ke Westport, Klang, Putra Heights dan UNISEL Bestari Jaya.

Projek berkenaan dijangka memberi impak terhadap pertumbuhan ekonomi di sepanjang koridor jajaran, termasuk meningkatkan hubungan antara kawasan penduduk, pusat industri dan hab logistik di Selangor.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan pembangunan fasa pertama projek berkenaan masih memerlukan perbincangan lanjut bagi mendapatkan kaedah pembiayaan yang bersesuaian dan paling menguntungkan negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×