Kumpulan BPMB rekod pengambilan kohort biasiswa BAGUS terbesar - Utusan Malaysia

Kumpulan BPMB rekod pengambilan kohort biasiswa BAGUS terbesar

(BARISAN belakang, keempat hingga kesembilan dari kiri) Pemangku Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan BPMB, Shuhaibahtulaslamiah Hurmuzan; ahli Lembaga Pengarah EXIM Bank, Abdul Aziz Abu Bakar; ahli Lembaga Pengarah BPMB & EXIM Bank, Jeremy Lee Eng Huat; Pengerusi Kumpulan BPMB, Datuk Sulaiman Mohd Tahir; ahli Lembaga Pengarah BPMB, Ts. Dr. Othman Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Datuk Muzaffar Hisham serta 18 penerima biasiswa Anugerah BPMB Award of Group’s Undergraduate Scholarship (BAGUS) 2026 pada majlis penyampaian anugerah yang berlangsung pada 20 Ogos 2026 di Menara Plaza Conlay, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) menganugerahkan biasiswa kepada 18 pelajar menerusi inisiatif Anugerah Biasiswa Prasiswazah Kumpulan BPMB (BAGUS) 2026, sekali gus mencatatkan pengambilan kohort penerima tahunan terbesar sejak program itu diperkenalkan pada 2013.

Program berkenaan merekodkan jumlah pelaburan terkumpul melebihi RM17 juta dan setakat ini menyokong hampir 70 pelajar dalam melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda.

Pemangku Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan BPMB, Shuhaibahtulaslamiah Hurmuzan, berkata pengambilan 18 penerima tahun ini mencerminkan komitmen jangka panjang institusi itu dalam membangunkan bakat tempatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dengan jumlah pelaburan melebihi RM17 juta yang telah disalurkan kepada hampir 70 penerima setakat ini, program BAGUS mencerminkan komitmen jangka panjang kami dalam mengembangkan bakat tempatan serta memperluas peluang kepada generasi muda Malaysia berpotensi tinggi untuk melanjutkan pengajian tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (DFI), peranan BPMB dalam pembangunan negara bukan sekadar tertumpu kepada penyediaan pembiayaan, sebaliknya turut merangkumi pembangunan sumber bakat yang kukuh.

Ujarnya, seramai lapan penerima BAGUS dijangka menyertai BPMB menjelang akhir 2026, sekali gus membuktikan kepentingan pendekatan jangka panjang dalam membangunkan bakat daripada alam pendidikan hingga ke alam pekerjaan.

Program BAGUS yang diperkenalkan pada 2013 pada peringkat awal memberi keutamaan kepada pelajar yang mengikuti pengajian ijazah sarjana muda di universiti luar negara.

Bagaimanapun, skop program itu diperluaskan pada 2023 bagi merangkumi universiti awam tempatan, sebelum diperluaskan lagi pada awal 2026 kepada universiti swasta tempatan serta program berkembar.

Perkembangan itu membolehkan lebih ramai pelajar Malaysia berprestasi cemerlang mendapat akses kepada pendidikan tinggi berkualiti, selain menyediakan pilihan pengajian yang lebih fleksibel.

BPMB turut memperkukuh proses pemilihan penerima menerusi peningkatan syarat akademik dan penilaian berasaskan merit yang mengambil kira latar belakang sosioekonomi pemohon.

Pendekatan itu bertujuan memastikan peluang pendidikan dapat diperluaskan kepada pelajar berprestasi tinggi daripada pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

Selain bantuan kewangan, penerima BAGUS turut menerima sokongan sepanjang perjalanan akademik mereka, termasuk pembiayaan yuran pengajian dan elaun sara hidup.

Kemudahan berkenaan membolehkan penerima memberi tumpuan kepada pengajian serta membina pencapaian akademik, selain membuka peluang untuk membina kerjaya bersama BPMB selepas tamat pengajian.

Dengan lapan penerima dijangka menyertai BPMB menjelang akhir tahun ini, program berkenaan turut menjadi saluran pembangunan bakat bagi memenuhi keperluan tenaga kerja masa hadapan dalam sektor perbankan dan kewangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini