Kanser bersembunyi di belakang rongga hidung, tiada rasa sakit

Kanser bersembunyi di belakang rongga hidung, tiada rasa sakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Khadijah ‘Ainaa Raouf Al-Samarraie tidak menyangka demam berterusan dialami sehingga berbulan lamanya sebenarnya adalah satu titik perubahan besar dalam perjalanan hidupnya.

Semuanya bermula pada 2019 apabila dia pulang dari bercuti dan mengalami demam. Menyangka tiada yang perlu dibimbangkan, Khadijah hanya menjalani pemeriksaan kesihatan seperti biasa.

Apa yang menghairankan, demam masih tidak kebah sehingga berbulan-bulan dan pada masa sama Khadijah juga mengalami sakit tekak sehingga terpaksa menjalani terapi pernafasan.

“Sehingga Disember baru semuanya hilang. Temujanji dengan doktor yang terakhir, saya ingat tidak mahu pergi kerana berasa sudah sihat. Tapi saya pergi juga dan berjumpa Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT). Pakar ENT masukkan kamera dan alat ke dalam hidung.

“Saya terkejut apabila doktor mengatakan terdapat tumor. Ujian darah dan biopsi yang dijalankan mengesahkan saya mengalami kanser nasopharyngeal (kanser pangkal hidung).

Saya menangis berbulan-bulan kerana sukar menerima hakikat itu. Tapi apa yang baik, kanser baru tahap satu,” katanya pada program sempena Hari Kanser Kepala dan Leher Sedunia, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), yang turut dihadiri Pengarah HCTM UKM, Datuk Dr. Azmi Baharudin, baru-baru ini.

Khadijah ‘Ainaa yang bertugas sebagai pensyarah bersyukur kerana jika doktor tidak merujuknya ke pakar ENT, mungkin kanser itu sudah berada di tahap empat tanpa disedari kerana dia tidak merasai rasa sakit. Ramai hairan dan tidak percaya dia mengalami kanser pangkal hidung kerana hidungnya kelihatan biasa saja.

Kanser pangkal hidung (NPC) sangat jarang berlaku, terutama dalam kalangan orang Melayu apatah lagi wanita. Biasanya ia dialami kaum lelaki Cina. Khadijah ‘Ainaa cuba mencari maklumat mengenai NPC tetapi tidak banyak maklumat diperoleh.

Bagaimanapun, Khadijah ‘Ainaa mengakui mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser. Ibunya terselamat daripada kanser payudara pada tahun 2000.

Walaupun perlu menjalani rawatan radioterapi, Khadijah ‘Ainaa terpaksa meminta rawatan itu ditangguhkan bagi menyempurnakan tugasnya mengajar kerana ia adalah kelas pertama bagi semester itu. Justeru doktor hanya memberikan satu kitaran kemoterapi selama tiga minggu.

Kulit hangus, hitam

“Selepas itu, saya menjalani 33 sesi rawatan radioterapi selama tujuh minggu setiap hari. Kesan radioterapi sangat teruk. Mulut penuh ulser dan lidah menjadi putih. Air liur sangat pekat sehingga susah hendak menelan manakala gusi dan gigi menjadi lebih sensitif.

“Sebelum rawatan radioterapi dijalankan, saya perlu cabut gigi yang rosak terlebih dahulu. Beberapa gigi hilang selepas rawatan. Hidung pula berdarah dan badan panas dalam macam terbakar.

Kalau hendak makan, saya diberi morfin dulu. Deria rasa sangat sensitif, tidak boleh pedas. Tidak boleh makan cili sos apatah lagi sambal,” katanya.

Kesan lain yang ditanggungnya, tekak bengkak dan sakit setiap kali hendak minum sehingga minum tidak sampai 400 ml sehari. Rasa dahaga dan lapar tetap ada sehingga berat badan menyusut sebanyak 30 kilogram.

Katanya lagi, lebih memeritkan apabila kulitnya hangus terbakar bermula dari bawah mata sehingga dada kesan radioterapi sehingga menjadi hitam dan rambut juga mengalami keguguran.

Sehingga sekarang masih terdapat saki baki kesan sampingan rawatan radioterapi. Salah satu kesannya adalah menjadikannya pelupa. Ia disedari selepas dua tahun kembali bekerja semula sebagai pensyarah undang-undang secara sambilan.

Kini, Khadijah ‘Ainaa hanya perlu menjalani rawatan susulan sebulan hingga enam bulan sekali dan menjalani MRI setiap dua tahun sekali.

“Saya mengambil cuti sakit selama dua tahun. Kesan rawatan juga sentiasa muntah walaupun hanya minum air. Tulang belakang terasa mencucuk ke saraf tunjang sehingga tidak boleh berjalan enam bulan. Saya menjalani pembedahan tulang belakang disusuli fisioterapi.

“Lima tahun baru sembuh, walaupun banyak kali berputus asa. Kalau mati itu takdir, saya reda. Saya selalu tertanya-tanya, saya masih muda, kenapa saya kena. Selalunya orang berusia mengalami kanser,” katanya.

Khadijah ‘Ainaa bersyukur kerana ramai yang membakar semangatnya. Rezekinya, apabila muncul Covid-19. Jadi, suami sentiasa ada di sisi memberi sokongan. Selain itu, ketabahan ibunya melalui kanser lebih teruk dan menjalani kemoterapi menjadi pembakar semangat. Begitu juga doktor dan pakar yang sangat membantu.

Katanya, menangis bukan tanda lemah tapi tanda manusia biasa. Namun perlu berusaha dengan menjalani rawatan dan jangan melewatkan rawatan kerana ia akan menyukarkan keadaan.
Ancaman Tersembunyi

Karsinoma Nasofarinks (NPC) sangat relevan dengan komuniti kita. Ia adalah kanser kepala dan leher yang paling biasa di Malaysia dan kanser keempat paling biasa secara keseluruhan di negara ini.

Dikenali juga sebagai kanser pangkal hidung, ia adalah sejenis kanser kepala dan leher yang bermula di bahagian nasofaring, iaitu kawasan di belakang rongga hidung dan di atas bahagian belakang tekak. Di Malaysia, kanser ini antara jenis kanser yang kerap berlaku.

Apa yang menjadikan NPC sangat berbahaya adalah sifatnya yang halus. Oleh kerana tumor membesar di kawasan tersembunyi di belakang rongga hidung, simptom awal adalah sangat samar dan mudah disalah anggap sebagai penyakit harian biasa.

Tanda amaran berlaku NPC sering diabaikan seperti benjolan yang tidak menyakitkan di leher (biasanya tanda pertama), telinga tersumbat yang berterusan (seperti air terperangkap selepas berenang), telinga berdesing atau hingus bercampur darah dari hidung.

Di Malaysia, NPC sangat dikaitkan dengan gabungan genetik, jangkitan Virus Epstein-Barr (EBV) dan tabiat pemakanan jangka panjang. Pemakanan ikan masin, daging salai atau sayuran jeruk sejak kecil boleh meningkatkjan risiko menghidap NPC. Ini disebabkan proses pengawetan ini menghasilkan sebatian nitrosamine yang bersifat karsinogenik.

Disebabkan prevalens yang tinggi di rantau kita, kesedaran adalah senjata paling kukuh. Mengenal pasti tanda-tanda amaran ini sejak awal secara ketara meningkatkan kadar kelangsungan hidup dan dapat mengurangkan keperluan untuk rawatan agresif atau keras yang menyebabkan kesan sampingan yang berpanjangan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×