KUALA LUMPUR: Pelakon dan penggiat teater, Zahiril Adzim, menyambut baik perkembangan seni teater yang mula mencuri tumpuan khalayak susulan kemunculan produksi berskala besar seperti Puteri Gunung Ledang Musical dan Mansur & Liu yang dipentaskan tahun ini.
Bagaimanapun, Zahiril, 42, berharap minat terhadap pementasan teater akan terus subur dalam kalangan khalayak, sekali gus mendorong mereka menyokong kelompok teater kecil yang aktif di Malaysia.
“Saya sebenarnya menunggu scene teater ini kembali naik di Malaysia. Sejak Istana Budaya melalui proses renovasi, mungkin suasananya sedikit suram.
“Puteri Gunung Ledang dahulu sangat meriah. Kami di ASWARA pun tertunggu-tunggu pementasan itu dan saya sendiri pergi menontonnya.
“Bagaimanapun, saya harap kita semua tidak lupa untuk menyokong kumpulan teater kecil yang mempunyai naskhah hebat. Malah, ada yang membawakan isu-isu yang mungkin tidak pernah kita terfikirkan.
“Mereka membawakan sisi realiti. Jadi, apabila scene teater mula diperkatakan, saya harap penonton turut memberi perhatian dan sokongan kepada kumpulan teater kecil ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Bercakap mengenai keinginan untuk kembali ke pentas, Zahiril secara jujur mengakui berasa rendah diri kerana menganggap kemahiran lakonannya untuk pementasan teater kini sedikit berkarat.
Tegasnya, terdapat perbezaan besar antara lakonan televisyen atau filem dengan lakonan di atas pentas yang memerlukan penguasaan teknikal tinggi.
“Rindu itu memang rindu, tetapi saya rasa macam sudah tidak pandai berlakon atas pentas. Bila tengok kawan-kawan beraksi, saya terfikir, mampu lagi ke saya buat macam itu?
“Kalau mahu kembali, saya perlukan tempoh latihan yang panjang. Jangan ingat pelakon TV atau filem boleh terus ‘menjadi’ atas pentas. Tekniknya sangat berbeza.
“Projeksi vokal dan pergerakan badan perlu lebih besar. Malah, teknik pernafasan diafragma juga perlu dilatih semula.
“Kalau di depan kamera, kita boleh berbisik, tetapi atas pentas semuanya datang daripada diafragma. Saya belajar tiga tahun di ASWARA hanya untuk menjadikan teknik itu sebagai ‘muscle memory’, bukan sesuatu yang boleh dibuat main-main,” katanya. -UTUSAN











