IJM dijangka agresif tambah buku pesanan menjelang IPO 

IJM dijangka agresif tambah buku pesanan menjelang IPO 

CGS International menge­kalkan saranan ‘tambah’ terhadap IJM dengan TP RM3.42 sesaham.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: IJM Corporation Berhad (IJM) dijangka lebih agresif menambah buku pesanannya dalam tempoh 12 bulan akan datang menjelang potensi penyenaraian perniagaan pembinaannya pada suku ketiga 2027.

Penganalisis CGS International, Chong Tjen-San berkata, langkah itu dijangka disokong buku tender bernilai RM18 bilion yang.

“Ini merangkumi projek perumahan Nusantara di Indonesia, jambatan rel dari tanah besar ke bahagian pulau Pulau Pinang, terminal Lapangan Terbang Pulau Pinang serta projek perindustrian, pusat data (DC) dan kilang semikonduktor.

“IJM mengekalkan panduan perolehan kontrak baharu antara RM6 bilion hingga RM8 bilion bagi tahun kewangan berakhir Mac 2027 (FY3/27F), berbanding RM7.9 bilion pada tahun kewangan 2026.

“Pada 26 Ogos lalu, IJM mengumumkan dua projek dalam sektor semikonduktor dan tek­nologi perubatan bernilai gabungan RM909.5 juta, menjadikan jumlah perolehan kontrak baharu bagi FY3/27F setakat ini sekitar RM1.8 bilion,” katanya dalam nota penyelidikan.

Katanya, pendedahan IJM kepada sektor semikonduktor dan teknologi perubatan menjadi faktor pembeza utama berbanding pesaing terdekatnya, Gamuda dan SunCon, menjelang potensi tawaran awam permulaan (IPO) perniagaan pembinaan.

“IJM menyasarkan hasil perniagaan pembinaan antara RM4.5 bilion hingga RM5 bilion bagi tahun kewangan 2027, lebih tinggi daripada unjuran firma itu sebanyak RM4.1 bilion.

“Dari segi prestasi kewangan, keuntungan bersih teras IJM meningkat 31 peratus tahun ke tahun kepada RM116 juta pada suku pertama tahun kewangan 2027, manakala hasil mening­kat 32 peratus kepada RM2.3 bilion.

“Prestasi itu didorong terutamanya segmen pembinaan yang mencatat keuntungan sebelum cukai RM73 juta, meningkat 112 peratus tahun ke tahun, manakala margin keuntungan sebelum cukai operasi Malaysia dan Singapura meningkat kepada 6.2 peratus daripada 5.3 peratus setahun sebelumnya,” katanya. 

CGS International menge­kalkan saranan ‘tambah’ terhadap IJM dengan harga sasaran (TP) RM3.42 dengan pemangkin penilaian semula termasuk tempoh lebih pantas bagi merealisasikan nilai aset serta jualan hartanah yang lebih tinggi.

Sementara itu, Penganalis CIMB Securities, Kenny Mak Hoy Ken berkata, keputusan suku pertama tahun kewangan berakhir Mac 2027 IJM mengatasi jangkaan apabila keuntungan bersih teras meningkat 32 peratus tahun ke tahun kepada RM117 juta, manakala hasil turut berkembang 32 peratus kepada RM2.3 bilion.

“Keuntungan teras berkenaan mewakili 32 peratus daripada unjuran keuntungan setahun penuh, berbanding 26 peratus bagi konsensus.

“Peningkatan keuntungan pembinaan sebanyak 2.1 kali ganda kepada RM73 juta didorong kitaran pengebilan yang lebih pantas bagi projek DC yang sedang dilaksanakan, manakala margin keuntungan sebelum cukai meningkat dua mata peratusan kepada 5.6 peratus,” ujarnya. 

Beliau berkata, momentum perolehan kontrak IJM kekal kukuh dengan buku tender bernilai RM18 bilion dengan kemudahan perindustrian termasuk DC merangkumi kira-kira 40 peratus daripada saluran projek itu.

“Selain itu, kumpulan sedang membida beberapa projek infrastruktur utama termasuk LRT Pulau Pinang Pakej CMC2, naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Skim Bekalan Air Rasau Fasa 2.

“Setakat 30 Jun 2026, buku pesanan domestik IJM yang masih belum dilaksanakan berjumlah RM7.2 bilion atau RM14.5 bilion termasuk bahagian kumpulan dalam buku pesanan luar negara,” katanya. 

CIMB Securities turut menaikkan unjuran keuntungan teras IJM bagi tahun kewangan 2026, 2027 dan  2028 masing-masing 17 peratus, 11 peratus dan sembilan peratus kepada RM431 juta, RM451 juta dan RM570 juta.

Susulan itu, CIMB Securities mengekalkan saranan ‘beli’ dan menaikkan TP kepada RM3.25 daripada RM2.95 yang memberikan potensi pulangan keseluruhan sebanyak 20 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×