KUALA LUMPUR: Hong Leong Bank Berhad (HLB) menyasarkan pertumbuhan pinjaman dan pembiayaan kasar yang berhemah antara 6.0 hingga 7.0 peratus bagi tahun kewangan 2027 (FY2027), mengambil kira persekitaran pasaran global yang dijangka lebih mencabar.
Sektor perbankan dijangka berdepan ketidaktentuan berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat, kenaikan harga minyak mentah dunia serta tekanan inflasi yang boleh menjejaskan kos sara hidup pengguna dan operasi perniagaan.
Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Kevin Lam berkata, penetapan sasaran berkenaan dibuat secara berhati-hati berbanding pencapaian 7.7 peratus pada tahun kewangan 2026 (FY2026), namun ia masih mengatasi anggaran pertumbuhan purata industri sekitar 5.0 peratus.
“Persekitaran bagi tahun kewangan baharu ini dijangka lebih mencabar berbanding tempoh sebelumnya berikutan konflik di Iran yang menaikkan harga minyak mentah melebihi AS$90 hingga AS$100 setong, sekali gus memberi tekanan inflasi kepada pengguna dan kos operasi PKS.
“Memandangkan industri dijangka berkembang sekitar 5.0 peratus, sasaran 6.0 hingga 7.0 peratus kami masih berada di hadapan pasaran. Berdasarkan rekod trek HLB, kami cenderung untuk memenuhi atau melangkaui sasaran tanpa meletakkan jaminan yang berlebihan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pengumuman keputusan kewangan tahunan 2026 HLB di Menara Hong Leong hari ini.
Mengulas mengenai kualiti aset, Kevin berkata, HLB menyasarkan nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) kekal di bawah 0.65 peratus bagi FY2027, sambil mengunjurkan nisbah sebenar kekal stabil sekitar paras semasa berikutan disiplin penaja jaminan yang ketat dan profil pelanggan yang berkualiti tinggi.
“Bagi mengimbangi tekanan margin faedah bersih (NIM) dan persaingan deposit, HLB memberi fokus utama untuk memacu pertumbuhan akaun simpanan dan akaun semasa (CASA).
“Antara strategi utama termasuk peluasan perkhidmatan pembayaran imbasan QR di China, Hong Kong dan Macau menerusi HLB Connect, serta memanfaatkan aliran perniagaan dan tenaga kerja menerusi projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor-Singapura,” katanya.
Di Singapura, HLB turut memanfaatkan peluang pembiayaan projek infrastruktur kerajaan seperti Terminal 5 Lapangan Terbang Changi dan Tuas Superport, selain pertumbuhan positif dalam perkhidmatan perbankan peribadi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan HLB, Malkit Singh berkata, persaingan kadar deposit tetap (FD) dalam pasaran kekal sengit sejak akhir tahun lalu, sekali gus memberi tekanan kepada NIM industri.
“Meskipun terdapat tekanan pasaran, kualiti aset bank kekal mampan dengan nisbah perlindungan imunisasi pinjaman (LIC) berada pada paras 80 peratus. Jika mengambil kira pembiayaan tidak bercagar sahaja, nisbah perlindungan berada pada paras 141 peratus.
“Sumbangan daripada Bank of Chengdu (BOCD) juga telah mula stabil dan berada pada landasan positif berikutan pertumbuhan keuntungan selepas cukai sebanyak 4.0 peratus pada separuh pertama tahun ini, sekali gus menyokong pulangan atas ekuiti (ROE) bank bagi tempoh akan datang,” katanya. UTUSAN











