PETALING JAYA: CHAGEE Malaysia menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan menerusi kempen bertemakan kraf yang menggabungkan warisan tempatan, seni komuniti dan tradisi permainan wau, selain memperkenalkan minuman edisi terhad, Seri Embun Vanilla Oolong Milk Tea.
Kempen berkenaan mengetengahkan konsep kebersamaan rakyat Malaysia yang disatukan menerusi secawan teh, aktiviti seni dan pengalaman berkongsi tradisi.
Pengurus Besar CHAGEE Malaysia, Eason Fang berkata, pengenalan Seri Embun membawa mesej keharmonian menerusi gabungan dua profil rasa yang berbeza dalam satu minuman.
“Menerusi Seri Embun, kami ingin menyatukan dua rasa berbeza dalam satu cawan dengan keseimbangan rasa yang sempurna.
“Teh Wuyi Da Hong Pao memberikan rasa yang mendalam, manakala vanila Madagascar melengkapkannya dengan sentuhan yang lembut,” katanya dalam kenyataan.
Seri Embun Vanilla Oolong Milk Tea menggabungkan teh Wuyi Da Hong Pao dengan vanila Madagascar, menghasilkan aroma berunsur flora dengan sentuhan kemanisan karamel.
Menurut CHAGEE, minuman berkenaan diinspirasikan daripada konsep kraf yang menggabungkan pelbagai elemen buatan tangan untuk menghasilkan satu karya yang lengkap, sekali gus mencerminkan kepelbagaian masyarakat Malaysia.
Selain produk baharu, CHAGEE turut menganjurkan program CHAGEE Sip & Soar di Taman Metropolitan Kepong, Kuala Lumpur, dari 24 hingga 27 Ogos, bermula pukul 3 petang hingga 7.30 malam.
Program itu menampilkan aktiviti seperti bengkel kraf layang-layang, Kite Wind Challenge serta penghasilan karya seni komuniti berskala besar.
Dalam pada itu, kempen Layang-Layang Challenge di premis terpilih berlangsung sehingga 30 Ogos.
Pelanggan yang membeli dua cawan Seri Embun dan menyanyikan lagu bertemakan ‘terbang’ kepada krew CHAGEE berpeluang menerima set layang-layang DIY secara percuma.
Peserta turut berpeluang memuat naik hasil hiasan layang-layang mereka ke media sosial untuk merebut barangan eksklusif Merdeka, dengan 20 pemenang akan dipilih.
CHAGEE turut memperkenalkan koleksi barangan edisi terhad khas untuk pasaran Malaysia.
Bermula 14 Ogos, pelanggan yang membeli dua cawan besar Seri Embun dalam satu resit akan menerima Sabun Mini Vanila secara percuma, tertakluk kepada stok.
Setiap pembelian Seri Embun pula disajikan dalam cawan dan beg bertemakan sambutan Hari Kemerdekaan
CHAGEE berkata, ahli aplikasi CHAGEE turut boleh menikmati tawaran eksklusif sepanjang tempoh kempen sehingga 31 Ogos 2026.
Rangkaian CHAGEE di Malaysia juga dinyatakan telah mendapat pengesahan halal, manakala pengguna boleh membuat semakan melalui direktori rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). – UTUSAN









