PETALING JAYA: Persepsi yang mengaitkan kononnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) menggantung Perikatan Nasional (PN) perlu diperbetulkan kerana ia bukan tujuan sebenar aduan dikemukakan.
Ketua Srikandi Muda, Nurul Ezzati Azmi berkata, pendirian Bersatu adalah jelas iaitu parti itu tidak sesekali meminta ROS menghukum atau menggantung gabungan itu.
Beliau berkata, Bersatu hanya menuntut supaya Perlembagaan PN dihormati dan hak Bersatu sebagai parti anggota yang sah tidak dinafikan.
“Sekiranya terdapat tindakan atau keputusan yang bercanggah dengan Perlembagaan PN, maka perkara tersebut wajar disemak dan diselesaikan mengikut saluran yang sah.
“Ini bukan soal mencari perbalahan, tetapi soal mempertahankan peraturan, hak dan integriti sebuah gabungan politik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, penganalisis politik berpandangan PN berdepan kemungkinan digantung sekiranya siasatan RoS mendapati berlaku ketidakpatuhan terhadap perlembagaan dan prosedur gabungan itu.
Nurul Ezzati berkata, Bersatu mempunyai hak sebagai parti anggota yang sah dalam PN dan hak tersebut tidak boleh dinafikan, diketepikan atau diubah hanya berdasarkan kenyataan atau keputusan mana-mana individu tanpa melalui proses dan mekanisme yang diperuntukkan dalam Perlembagaan PN.
“Bersatu telah memilih untuk bertindak melalui saluran yang betul dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk meneliti perkara berdasarkan fakta serta peruntukan yang sedia ada. Maka, jangan pula usaha mempertahankan hak dan Perlembagaan ini diputarbelitkan seolah-olah Bersatu mahu menghancurkan PN,” katanya.
Beliau malah berpandangan kekuatan PN tidak terletak pada dominasi mana-mana parti, sebaliknya pada kejujuran, saling menghormati dan pematuhan kepada peraturan yang dipersetujui bersama.
“Hormati Bersatu, hormati Perlembagaan PN dan hormati keputusan yang dibuat melalui saluran yang sah. Srikandi Muda Bersatu berdiri teguh mempertahankan hak parti ini. Jangan terus-menerus mencabar Bersatu,” katanya.










