Bekalan peranti perubatan tidak terjejas - Utusan Malaysia

Bekalan peranti perubatan tidak terjejas

AKMAL NASRULLAH MOH NASIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak berdepan risiko besar terhadap bekalan peranti perubatan ketika ini, namun kerajaan terus mengambil langkah awal bagi memastikan sektor itu tidak terjejas sekiranya berlaku gangguan perdagangan dan rantaian bekalan global.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, penilaian risiko bekalan terkini sehingga 5 Ogos mendapati 81.3 peratus barangan peranti perubatan berada pada tahap risiko rendah, manakala 18.7 peratus lagi pada tahap risiko sederhana.

Katanya, kedudukan itu menunjukkan bekalan peranti perubatan negara kekal stabil meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik, perubahan dasar perdagangan dan gangguan rantaian bekalan global.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namun, Malaysia perlu terus memperkukuh daya tahan rantaian bekalan bagi mengurangkan risiko gangguan pada masa depan.

“Usaha mempelbagaikan sumber bekalan dan meningkatkan keupayaan pengeluaran dalam negara penting bagi memastikan bekalan peranti perubatan tidak terjejas sekiranya berlaku perubahan mendadak dalam ekonomi global, ketegangan geopolitik atau gangguan terhadap perdagangan dan logistik,” katanya dalam ucapan pada Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa di sini hari ini.

Akmal Nasrullah berkata, antara pendekatan yang perlu diberi tumpuan ialah mempelbagaikan sumber bekalan selain meningkatkan kapasiti pengeluaran dalam negara supaya Malaysia tidak terlalu bergantung kepada sumber luar.

Pada masa sama, katanya, industri peranti perubatan perlu bergerak daripada model pengeluaran tradisional kepada aktiviti yang menghasilkan nilai lebih tinggi seperti reka bentuk, kejuruteraan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan perisian, keupayaan kawal selia serta pengkomersialan.

“Pelaburan berkualiti tinggi dalam sektor ini dijangka menyokong pekerjaan berkemahiran tinggi, hubungan dengan pembekal tempatan, fungsi kejuruteraan dan R&D, pemindahan teknologi serta penyertaan syarikat Malaysia dalam aktiviti bernilai lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata, Malaysia menyasarkan untuk memperkukuh kedudukannya sebagai hab teknologi perubatan (MedTech) serantau dengan meningkatkan keupayaan tempatan dalam reka bentuk, R&D, inovasi, teknologi dan pemilikan harta intelek (IP).

Katanya, sektor peranti perubatan kini bukan lagi sekadar menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan, sebaliknya semakin penting kepada pembangunan ekonomi negara menerusi pelaburan, teknologi, pekerjaan berkemahiran tinggi dan peluang pengembangan syarikat tempatan.

“Malaysia mempunyai asas kukuh dalam sektor ini, namun cabaran seterusnya adalah membina kekuatan sedia ada bagi memastikan negara kekal kompetitif sebagai lokasi pengeluaran, selain meningkatkan keupayaan membangunkan teknologi dan inovasi sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini