Air kosong, sebelum tidur dan selepas bangun - Rashdan Baba kongsi petua awet muda - Utusan Malaysia

Air kosong, sebelum tidur dan selepas bangun – Rashdan Baba kongsi petua awet muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Rashdan Baba, 57, memaklumkan dia mengamalkan petua arwah ayahnya iaitu minum air suam sebelum tidur dan selepas bangun untuk mendapatkan fizikal yang tidak dimamah usia.

Menurut Rashdan, amalan itu antara yang berkesan untuk memastikan badan seseorang itu sentiasa beradan dalam keadaan hidrasi yang tinggi.

“Ajaran arwah bapa saya sebelum tidur minum air suam segelas, kemudian bangun pagi sebelum gosok gigi, segelas lagi. Itu amalan saya sejak dulu.

“Dan saya akan minum air mencukupi, kira-kira lebih lapan liter sepanjang hari dan ianya haruslah air suam.

“Jika air tidak cukup dalam badan, maka kedutan pun kelihatan. Kerana badan kini merangkumi 90 peratus air,” katanya.

Rashdan berkata demikian semasa sesi pengenalan peserta Kilauan Emas Selebriti di Astro Bukit Jalil, baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, beliau juga akan memastikan pengambilan suplemen yang mendapat kelulusan KKM, cukup untuk kecergasan fizikal.

“Mungkin saya ini mewarisi perangai arwah bapa yang suka makan suplemen untuk kesihatan. Boleh dikatakan jumlah suplemen beliau memenuhi ruang meja, ibarat farmasi. Pantang tahu suplemen yang bagus, beliau akan beli.

“Mungkin ada benarnya kerana berdasarkan kajian, sebaik sahaja seseorang itu meningkat usia ke 40 tahun ke atas, mereka hendaklah mengamalkan suplemen dan minum air yang mencukupi,” katanya lagi.

Rashdan dalam pada itu menafikan beliau terlalu berdisiplin dalam menjaga wajah dan tubuhnya kerana turut mengambil minuman bergula namun pada kadar minima.

“Saya minum juga minum teh tarik, sirap, milo ais dan bermacam-macam lagi jenis minuman berperisa tetapi dalam kuantiti setengah cawan. Itu pun kadang kala tak habis, sekadar ingin mengabmbil rasa di lidah sahaja,” kongsinya.

Disoal mengenai pemakanan, Rashdan mengamalkan petua makan dalam kadar berpada-pada sesuai usia.

“Kalau bab pemakanan ini, saya amalkan perkara yang dianjurkan rasulullah S.A.W iaitu makan sebelum lapar berhenti sebelum kenyang.

“Semua makanan yang kita makan, kelak akan menjadi racun kepada badan. Jadi bayangkan apa ada dalam perut anda itu. Jadi makan berpada-pada,” ujarnya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×