113 pelarian bukan ditahan sebaliknya dipindahkan bagi dokumentasi - Ketua Polis KL

113 pelarian bukan ditahan sebaliknya dipindahkan bagi dokumentasi – Ketua Polis KL

FADIL MARSUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menafikan dakwaan 113 pelarian yang majoritinya etnik Rohingya ditahan selepas kumpulan itu berhimpun di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Jalan Bukit Petaling pada 29 Julai lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata sebaliknya kesemua mereka dipindahkan sementara ke Dataran Wira, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, bagi tujuan dokumentasi.

“Kesemua mereka kemudiannya dibebaskan selepas semua proses dokumentasi selesai. Sudah pasti kita tidak sewenang-wenangnya menahan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Fadil berkata demikian sebagai mengulas penularan laporan sebuah portal antarabangsa mengenai penahanan semua individu terbabit.

Laporan itu turut menyatakan kebimbangan UNHCR terhadap laporan berbaur kebencian, penyebaran maklumat palsu dan naratif tidak berperikemanusiaan yang menyasarkan etnik Rohingya serta pelarian lain.

Menurut agensi berkenaan, perkara tersebut berpotensi mencetuskan gangguan, diskriminasi dan layanan tidak adil terhadap golongan itu dalam kehidupan seharian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×