11 kali patah tulang, budak tiga tahun kini terlantar

11 kali patah tulang, budak tiga tahun kini terlantar

AYDEN Mukhriz Ahmad Saiful Amirol yang patah kaki dan tangan akibat menghidap penyakit tulang rapuh bersama Ahmad Saiful Amirol dan Nur Jannatul Syuhadah di rumah mereka di Taman Balok Makmur di Kuantan, Pahang. – UTUSAN/DIANA SURYA ABD. WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Dalam tempoh dua tahun, seorang kanak-kanak dari Taman Balok Makmur di sini, sudah 11 kali patah tulang akibat menghidap penyakit genetik jarang ditemukan, Osteogenesis Imperfecta (OI) atau penyakit tulang rapuh.

Ibunya, Nur Jannatul Syuhadah Mohd. Azman, 33, berkata, episod duka keluarga itu bermula pada 2024 ketika anaknya, Ayden Mukhriz Ahmad Saiful Amirol patah tulang kali pertama ketika usia setahun lapan bulan.

Katanya, selepas kejadian ter­sebut, anaknya yang kini berusia tiga tahun terus me­ngalami patah tulang berulang kali walaupun hanya terjatuh tanpa hentakan kuat.

“Selepas menjalani pelbagai pemeriksaan, Mei lalu doktor sahkan anak saya menghidap OI, iaitu penyakit genetik yang sangat jarang berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Nur Jannatul Syuhadah ber­kata, penyakit itu menyebabkannya terpaksa mengawal pergerakan Ayden Mukhriz kerana bimbang jika berlaku sebarang kesilapan langkah atau terjatuh.

“Mac lalu, Ayden Mukhriz patah tulang paha kiri berhampiran pinggul dan pada Jun pula sekali lagi patah di bahagian berhampiran lutut pada kaki yang sama. Selain itu, kini tangannya juga patah.

Dia sudah tidak mampu berjalan dan bermain seperti kanak-kanak lain, hanya terlantar di rumah,” katanya.

Sementara itu, katannya, Ayden Mukhriz yang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan di sini, dijadual memulakan rawatan pertama menggunakan ubat Pamidronate pada 19 Ogos ini.

Menurutnya, doktor memaklumkan penyakit tersebut tidak mempunyai penawar khusus dan rawatan diberikan bagi membantu menguatkan tulang, namun risiko patah tulang tetap wujud sepanjang hayat.

“Rawatan itu perlu dilakukan setiap tiga bulan sekali dengan anggaran kos antara RM1,500 hingga RM2,500 bagi setiap sesi,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi membantu kos rawatan boleh menyalurkan bantuan terus ke akaun Bank CIMB 7049755781 CIMB milik Nur Jannatul Syuhadah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×