PETALING JAYA: Kerajaan disaran membentangkan laporan menyeluruh kepada Parlimen mengenai pelaburan dalam syarikat eFishery yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM200 juta kepada dana Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).
Naib Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Omar Mustapha berkata, kerugian RM200 juta itu bukan sekadar angka dalam laporan kewangan, sebaliknya membabitkan wang persaraan penjawat awam yang diamanahkan kepada negara.
Katanya, standard penelitian, pemantauan dan pengurusan risiko terhadap pelaburan KWAP seharusnya lebih tinggi kerana ia melibatkan amanah rakyat.
“Sekiranya semua proses tadbir urus, penilaian dalaman, usaha wajar, semakan pihak ketiga serta audit telah dilaksanakan sebelum pelaburan dibuat, persoalan utama yang perlu dijawab ialah bagaimana risiko tersebut masih gagal dikesan lebih awal.
“Wawasan berpandangan bahawa kerajaan wajar membentangkan kepada Parlimen pada persidangan bulan Oktober ini suatu laporan menyeluruh mengenai pelaburan eFishery, termasuk proses kelulusan, penilaian risiko, dapatan semakan dalaman, status pemulihan aset serta pembaharuan yang telah dilaksanakan.
“RM200 juta bukan sekadar angka dalam laporan kewangan. Ia ialah wang persaraan penjawat awam yang diamanahkan kepada negara,” katanya dalam kenyataan di sini.
Omar berkata, dalam mana-mana sistem tadbir urus yang baik, penipuan mungkin menjelaskan bagaimana sesuatu kerugian berlaku.
Menurutnya, pelaburan bernilai AS$47.7 juta (RM200 juta) itu dibuat pada Julai 2023 ketika portfolio Menteri Kewangan dipegang sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tiada siapa mengatakan Perdana Menteri bertanggungjawab terhadap penipuan yang dilakukan oleh pengurusan eFishery.
“Namun sebagai Menteri Kewangan ketika keputusan pelaburan dibuat, beliau bertanggungjawab sebagai menteri memastikan institusi di bawah kementeriannya mempunyai sistem tadbir urus, pengurusan risiko dan pengawasan yang benar-benar berkesan.
“Oleh itu, rakyat berhak mendapat jawapan yang lebih menyeluruh daripada sekadar kenyataan bahawa semua prosedur telah dipatuhi,” katanya.
Sehubungan itu, Wawasan menggesa penjelasan menyeluruh diberikan berhubung proses kelulusan pelaburan, asas penilaian risiko serta mekanisme pemantauan selepas pelaburan dibuat.
“Antara perkara yang perlu diperjelaskan, termasuk pihak yang mencadangkan dan meluluskan pelaburan tersebut, bagaimana risiko dinilai, bila petunjuk awal masalah mula dikenal pasti serta jumlah dana yang masih berpotensi dipulihkan.
“Ketelusan tidak boleh terhenti pada pengumuman bahawa semakan telah dibuat. Rakyat berhak mengetahui apakah kelemahan yang dikenal pasti dan apakah pembaharuan yang dilaksanakan bagi memastikan perkara sama tidak berulang,” katanya.
Anwar semalam mendedahkan KWAP diperdayakan menerusi penipuan terancang dan manipulasi laporan kewangan sehingga menyalurkan kira-kira RM200 juta kepada syarikat pemula akuakultur di Indonesia dikenali sebagai eFishery.
Beliau dilaporkan berkata, keputusan pelaburan dalam eFishery oleh KWAP dibuat melalui proses penilaian dan proses tadbir urus, berdasarkan maklumat tersedia yang merangkumi pengesahan penyata kewangan daripada juruaudit antarabangsa bertauliah.
“Konsortium pelabur termasuk KWAP juga sudah melaksanakan usaha wajar bebas untuk memastikan semua maklumat adalah lengkap dan sahih untuk pertimbangan pelaburan.
“Pelaburan dalam eFishery turut disertai oleh beberapa pelabur institusi dan dana teknologi antarabangsa yang terkemuka termasuk Temasek, SoftBank, 42XFund dan NorthStar,” katanya.-UTUSAN










