Wajib ada insurans, isytihar kesihatan sebelum mendaki

Wajib ada insurans, isytihar kesihatan sebelum mendaki

SYED Ibrahim Syed Noh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua pendaki mungkin diwajibkan mengisytihar status kesihatan, rekod perubatan dan perlindungan insurans sebagai antara mekanisme memperketat kawalan aktiviti pendakian di seluruh negara.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, kerajaan sedang memperkukuh mekanisme saringan sebelum pendakian bagi mengurangkan risiko kemalangan dan kos operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya, selain itu, cadangan pelaksanaan saringan gejala penyakit altitud tinggi dan akut gunung (AMS) turut dipertimbangkan terutama bagi aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu, Sabah dan Gunung Tahan, Pahang.

“Langkah berkenaan membolehkan pendaki yang berisiko dikenal pasti lebih awal sebelum dibenarkan menjalankan aktiviti pendakian.

“Selain itu, Jabatan Perhutanan Semenanjung juga mewajibkan khidmat Malim Gunung Perhutanan (MGP) di 189 kawasan pendakian yang berisiko tinggi.

“MGP yang berperanan sebagai jurupandu arah bertauliah turut menyokong aspek keselamatan pendaki, tindak balas kecemasan serta pematuhan kepada amalan pendakian,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Prof. Dr. Mohammad Redzuan Othman berhubung langkah memastikan keselamatan pendaki dan mengelakkan kes sesat yang membebankan kos operasi SAR.

Syed Ibrahim berkata, pendakian secara seharian (day hike) atau compressed hike juga dihadkan terutama di kawasan pergunungan berisiko tinggi.

Beliau berkata, kecenderungan sesetengah pendaki dengan mengambil mudah aspek persediaan, mengikuti trend media sosial dan meneroka laluan baharu tanpa kebenaran menjadi punca utama kejadian kecemasan serta sesat di hutan.

“Fokus utama kerajaan ialah mengurangkan risiko kejadian sesat dan kemalangan, sekali gus untuk meminimumkan keperluan operasi SAR yang melibatkan kos serta sumber yang tinggi.

“Pendekatan ini juga bertujuan mengurangkan risiko keletihan yang melampau, sesat laluan dan juga kejadian kecemasan sebelum ia berlaku,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, seramai 2,322 individu termasuk masyarakat Orang Asli telah ditauliahkan sebagai MGP menerusi Program Pembangunan Kemahiran MGP.

Katanya, penggunaan teknologi seperti Sistem Pengurusan Trek Pendakian berasaskan Sistem Maklumat Geografi dan penderiaan jauh sedang dibangunkan bersama Agensi Angkasa Malaysia, selain ujian penggunaan peranti penjejak GPS bagi pendaki.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN