MENUNTUT ilmu agama tidak mengenal had usia, malah fasa usia emas sering menjadi peluang terbaik untuk memperbanyakkan amalan dan memperbaiki kehidupan sebelum bertemu Allah SWT.
Atas kesedaran itu, seorang bekas guru besar, Halmi Abdul Rahman, 64, terus mencurahkan khidmat kepada masyarakat dengan mengendalikan kuliah agama untuk warga emas di Tahfiz Ahmadiah, Chikus, Pasir Salak, Perak.
Baginya, setiap insan berpeluang menambah bekalan akhirat walaupun sudah berada di penghujung usia, asalkan masih diberi kesihatan dan kesempatan menimba ilmu.
Halmi bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan Chikus, Pasir Salak yang berkhidmat dari 2011 hingga bersara awal pada usia 56 tahun untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada aktiviti dakwah dan pendidikan agama.
Menurut beliau, Tahfiz Ahmadiah menganjurkan kuliah Duha sebanyak dua kali setiap bulan, iaitu pada minggu pertama dan minggu ketiga bagi memenuhi permintaan penduduk setempat.
Katanya, sekiranya penceramah jemputan tidak dapat hadir, beliau akan menggantikan sesi kuliah secara sukarela demi memastikan program ilmu dapat diteruskan.
Selain mengajar di pusat tahfiz itu, beliau turut aktif bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengendalikan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Langkap.
Jelasnya, golongan berusia 70 tahun ke atas menunjukkan minat yang tinggi untuk mempelajari ilmu agama walaupun sudah lanjut usia.
“Mereka sangat bersemangat untuk belajar. Kuliah biasanya berlangsung dari pukul 9.30 hingga 10.30 pagi dengan pelbagai tajuk yang bersesuaian,” katanya.
Menurut Halmi, peserta bukan sahaja terdiri daripada penduduk Kampung Chikus, malah ada yang datang dari kawasan sekitar untuk mengikuti kuliah agama.
Beliau turut memilih kitab-kitab yang memberi penekanan kepada persediaan menghadapi kehidupan akhirat dan kepentingan memperbanyakkan amalan ketika usia semakin meningkat.
Antara tajuk yang pernah dibincangkan adalah amalan berwuduk sebelum tidur yang menurutnya semakin jarang diamalkan walaupun mempunyai kelebihan besar.
Katanya, sekiranya warga emas terjaga pada waktu malam, mereka digalakkan mengambil wuduk dan menunaikan solat Tahajud sebagai usaha menambah pahala.
Beliau berharap warga emas memanfaatkan sisa usia dengan memperbanyak ibadah sebagai usaha menebus kekurangan amalan ketika zaman muda.
Halmi berkata, semua kuliah di Tahfiz Ahmadiah disediakan secara percuma dan orang ramai dialu-alukan hadir mengikut kelapangan masing-masing.
“Pengalaman hidup yang dimiliki mungkin boleh menjadikan seseorang lebih mudah memahami serta menghayati ajaran agama dalam kehidupan seharian.
“Menuntut ilmu agama pada usia tua mampu menjadi contoh yang baik kepada anak-anak dan masyarakat. Mereka boleh berkongsi ilmu, memberikan nasihat serta membimbing ahli keluarga agar sentiasa berada di jalan yang benar.
“Sikap mencintai ilmu tanpa mengira usia turut menyemai budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Anak jati Perak Tengah itu mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pulau Juar sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh dan Kolej Islam Klang sebelum menceburi bidang pendidikan.
Selepas bersara, beliau aktif dalam pelbagai program masjid termasuk pernah menjadi imam ganti di Masjid Al-Naim, Kampung Chikus dan kini memegang jawatan bendahari masjid berkenaan.
Halmi berkata, sehingga kini beliau masih menuntut ilmu secara tidak formal dengan menghadiri kuliah di masjid-masjid sekitar Chikus sebagai usaha menambah pengetahuan agama.
Dalam pada itu, beliau mengakui pengaruh media sosial dan kecerdasan buatan (AI) memberi cabaran kepada generasi muda. Namun beliau yakin teknologi tersebut boleh dimanfaatkan untuk menyebarkan dakwah.
Katanya, begitu pun masalah itu tidak susah untuk dibendung kerana dalam internet sendiri banyak ceramah agama cuma kena suntik sedikit semangat kepada belia-belia.
“Pertamanya, kita mahu jadikan belia-belia ini bukan musuh tetapi sebagai kawan. Begitu juga anak-anak kita di rumah, jangan anggap anak kena ikut cakap ibu bapa. Anak-anak kena dijadikan rakan kongsi untuk kita bangunkan akhirat,” katanya.
Menurutnya, anak muda tidak seharusnya dibiarkan leka dengan media sosial dan ibu bapa perlu mengingatkan mereka tentang matlamat hidup adalah di akhirat dan perkara tersebut perlu ditanamkan dalam hati mereka.
“Apabila akhirat ada dalam hati, belia atau anak muda ini akan sedar tentang matlamat akhir kita adalah akan bertemu dengan Allah SWT,” katanya.-UTUSAN










