UPM perkasa pendidikan pemakanan pesakit buah pinggang kronik

UPM perkasa pendidikan pemakanan pesakit buah pinggang kronik

DR. Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan Dr. Zamberi Sekawi turut menghadiri program kesihatan komuniti anjuran pelajar tahun akhir Bacelor Sains Dietetik, Jabatan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelajar tahun akhir Bacelor Sains Dietetik, Universiti Putra Malaysia (UPM) Berjaya menganjurkan Program Putra Renourish untuk memperkasa pendidikan pemakanan dalam kalangan pesakit buah pinggang kronik yang menjalani dialisis dan penjaga.

Program Putra Renourish merupakan program intervensi pemakanan yang memberikan tumpuan kepada peningkatan pengetahuan dan amalan pemakanan dalam kalangan pesakit dialisis.

Ia dijalankan dengan Kerjasama Pusat Dialisis Putra Renal Intervention & Dialysis Centre, UPM (PRINCE). Ia juga bertujuan bagi menyokong pengurusan penyakit buah pinggang kronik yang menjalani dialisis secara lebih berkesan dan praktikal.

Penyelaras Praktikum Profesional Dietetik Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UPM, Dr. Noraida Omar berkata, program selama enam minggu itu dibangunkan berdasarkan dapatan penilaian keperluan yang dijalankan bersama komuniti pesakit hemodialisis.

Beliau berkata, penilaian tersebut mengenal pasti isu utama seperti pengambilan protein yang tidak mencukupi dan pengambilan makanan tinggi fosfat.

“Justeru, pelbagai intervensi pemakanan dan aktiviti interaktif telah dirancang bagi meningkatkan pengetahuan, sikap dan amalan pemakanan peserta,” katanya dalam kenyataan.

Program turut dihadiri Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Zamberi Sekawi.

 

PELAJAR tahun akhir Bacelor Sains Dietetik Universiti Putra Malaysia (UPM) bergambar sempena program kesihatan komuniti Putra Renourish, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Putra Renourish, Ong Chong Yu berkata, program bertujuan meningkatkan kesedaran pesakit mengenai kepentingan pemakanan yang sesuai dalam pengurusan penyakit buah pinggang kronik yang menjalani dialisis.

“Melalui pelbagai aktiviti yang interaktif dan sesi pendidikan, para peserta didedahkan kepada pemilihan makanan yang lebih sesuai, pengawalan pengambilan nutrien penting semasa dialisis serta amalan pemakanan yang dapat dapat membantu meningkatkan kualiti hidup serta keberkesanan rawatan pesakit dialysis,” katanya.

Bagi memperkukuh penyampaian pendidikan pemakanan, program turut membabitkan sesi kaunseling berkumpulan sebagai aktiviti susulan bersama para peserta.

Peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan kecil yang membolehkan sesi dijalankan secara lebih interaktif dan berfokus. Sesi kaunseling dijalankan berdasarkan tiga topik utama, iaitu pengambilan protein yang mencukupi, pengawalan pengambilan cecair dan pengurusan pengambilan fosfat.

Selain melibatkan pesakit dialisis, sesi kaunseling ini turut disertai oleh jururawat serta pembantu perawatan kesihatan (PPK) dari PRINCE, UPM.

Penglibatan mereka membuka ruang untuk memahami dengan lebih mendalam cabaran yang dihadapi oleh petugas kesihatan dalam membantu pesakit mengamalkan saranan pemakanan harian serta menguruskan pematuhan terhadap rawatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN