Turun 7 kg sebulan untuk filem - Sweet Qismina - Utusan Malaysia

Turun 7 kg sebulan untuk filem – Sweet Qismina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Sweet Qismina sanggup mengubah rutin hidup dan menjalani latihan kecergasan secara konsisten demi menjayakan watak dalam sebuah filem terbaharunya yang dijangka bakal ditayangkan pada tahun hadapan.

Menurut Sweet atau Farhanna Qismina Supandi, 29, dia berjaya menurunkan berat badan sebanyak tujuh kilogram dalam masa sebulan hasil bimbingan suami tercinta, Adam Lee.

“Sebelum menjalani penggambaran penerbit menghubungi pengurus saya dan beritahu saya perlu ada stamina, perlukan kekuatan fizikal dan badan yang ‘fit’ atau cergas.

“Dari situ saya sudah dapat bayangan apa yang pihak produksi mahukan daripada saya. Lepas itu kami berbincang dengan pengurus saya, pihak produksi dan juga jurulatih peribadi (PT) saya iaitu Adam. Maka bermulalah perjalanan saya untuk menguruskan badan selama sebulan.

“Sebelum penggambaran memang saya sudah mula sesi kecergasan dan menguruskan badan. Alhamdulillah, itu rezeki saya apabila berjaya menurunkan 7 kg,” katanya.

Sweet berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis Malam Gala Filem Tiket Sehala di Sunway Pyramid, pada Rabu.

Berkongsi mengenai rutin yang dilakukan demi mendapatkan berat badan ideal, Sweet memaklumkan Adam menjadi individu paling banyak memberi dorongan sepanjang proses itu berjalan.

“Berat paling tinggi yang saya pernah capai sepanjang hidup ialah sekitar 55 hingga 56 kilogram. Jadi saya terpaksa turunkan kira-kira tujuh kilogram untuk mendapatkan badan yang lebih ringan dan lebih cergas bagi menjayakan filem ini.

“Alhamdulillah, saya berjaya. Semasa penggambaran pun memang banyak berlari dalam hutan dan sebagainya. Setiap malam Adam akan pastikan saya pergi berjoging di sekitar Stadium Bukit Jalil sekurang-kurangnya tiga kilometer tanpa henti.

“Setiap kali Sweet ada masa lapang, memang dia akan paksa. Bermula dengan mengurangkan makanan dan gula, memang nampak penurunan berat badan. Tetapi ada satu tahap berat yang susah nak turun.

“Adam juga nasihatkan supaya bersenam agar lebih mudah untuk bakar lemak. Jadi, mahu atau tidak mahu saya ikutkan sahaja kerana saya tidak pergi ke gim. Berjoging adalah jalan terbaik. Memang sakit sebenarnya. Tapi Alhamdulillah, saya berjaya,” jelasnya.

Sweet bagaimanapun mengakui dirinya enggan mengambil jalan pintas menggunakan kaedah suntikan pelangsing kerana lebih selesa menurunkan berat badan secara semula jadi.

“Sejujurnya, bukan tidak mahu. Kalau ia sesuatu yang baik, mungkin kita akan cuba. Sekarang benda itu sudah meluas dan sama ada baik atau buruk bergantung kepada persepsi masing-masing.

“Bagi saya, pertama sekali sebab saya memang ada jurulatih peribadi. Kedua, masa filem BABA dulu saya sudah belajar cara mengamalkan ‘liquid diet’ (diet cecair) dan sebagainya. Saya sudah tahu badan saya bagaimana serta apa yang sesuai dan apa yang tidak sesuai.

“Rezeki saya juga, kalau berat badan naik memang cepat naik. Kalau mahu kurus pula, dalam beberapa hari atau minggu pun senang turun. Itu rezeki badan saya, senang naik dan senang turun,” ujarnya.

Difahamkan, Sweet bakal membintangi filem bergenre thriller dan Slasher yang turut dibintangi Azira Shafinaz, Amir Nafiz, Namie dan Fimie Don. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN