Tolak politik ‘ketakutan’ - Mahfuz 

Tolak politik ‘ketakutan’ – Mahfuz 

MAHFUZ OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Rakyat perlu menolak politik berasaskan ketakutan yang disifatkan hanya memecah-belahkan masyarakat, sebaliknya memilih pendekatan yang menawarkan harapan, penyelesaian serta hala tuju masa depan lebih baik untuk negara.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, politik ketakutan telah lama digunakan bagi mempengaruhi rakyat terutama ketika pilihan raya menerusi penciptaan pelbagai naratif musuh mengikut perubahan semasa.

Menurutnya, pendekatan sedemikian menyebabkan rakyat lebih banyak didorong oleh kebimbangan berbanding membuat penilaian terhadap prestasi, dasar dan kemampuan sesebuah kerajaan.

“Suatu ketika dahulu Pas menuduh penyokong UMNO sebagai kafir, kemudian UMNO pula menggambarkan Pas sebagai alat DAP. Selepas itu Pas dan Perikatan Nasional (PN) melabel UMNO dalam Kerajaan Perpaduan sebagai ‘UMDAP’.

“Kini muncul pula naratif yang cuba menakutkan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) kerana kewujudan DAP. Soalnya, sampai bila rakyat mahu diperintah melalui ketakutan?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, ketakutan tidak mampu membina sekolah, meningkatkan pendapatan rakyat, menurunkan harga barang atau mewujudkan peluang pekerjaan.

Katanya, pembangunan negara hanya dapat dicapai melalui dasar yang baik, pentadbiran bersih dan perpaduan rakyat.

Politik ketakutan juga sering mengalih perhatian masyarakat daripada isu sebenar seperti ekonomi, pendidikan, pelaburan, peluang pekerjaan dan kebajikan rakyat.

Beliau menyifatkan keadaan itu seperti seseorang yang menutup cermin depan kereta sehingga penumpang hanya melihat perkara di belakang dan akhirnya hilang arah tuju.

“Malaysia tidak boleh dipandu dengan melihat bayang-bayang musuh, sebaliknya perlu dipimpin berdasarkan hala tuju jelas untuk masa depan,” katanya.

Mahfuz turut mendakwa beberapa negeri ditadbir PN seperti Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu masih berdepan isu asas pembangunan walaupun rakyat terus didedahkan dengan naratif ketakutan terhadap pihak tertentu.

Beliau turut mengajak rakyat tanpa mengira kaum dan agama mempertahankan perpaduan serta menolak politik yang memecah-belahkan masyarakat demi kepentingan kuasa.

“Pilihan raya bukan pertandingan siapa paling pandai menakutkan rakyat, tetapi medan menentukan siapa paling layak membawa Malaysia ke hadapan,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN