PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk menangguhkan cadangan meletakkan program Tingkatan Enam di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) selepas mengambil kira kekangan sistem dan skim perkhidmatan, sekali gus mengekalkan program prauniversiti itu di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) buat masa ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun cadangan memindahkan Tingkatan Enam ke KPT disifatkan sebagai langkah yang rasional kerana statusnya sebagai pendidikan pasca menengah, pelaksanaannya memerlukan penelitian lanjut berikutan melibatkan perubahan sistem pentadbiran dan perkhidmatan.
“Saya fikir rasionalnya memang betul, tetapi peralihan itu mengambil masa kerana sistem dan skim.
“Jadi buat sementara ini saya putuskan supaya program prauniversiti Tingkatan Enam kekal di bawah Kementerian Pendidikan,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Pendidikan di sini hari ini.
Pada masa sama, Anwar menegaskan identiti Tingkatan Enam sebagai program prauniversiti perlu diperkukuhkan supaya tidak lagi dilihat sebagai sebahagian daripada persekolahan menengah biasa.
Menurut beliau, walaupun pelajar Tingkatan Enam masih ditempatkan di sekolah yang sama, mereka perlu mempunyai blok pembelajaran, pengurusan, disiplin dan aktiviti yang berasingan bagi mewujudkan suasana pembelajaran setaraf pendidikan prauniversiti.
“Saya mahu Tingkatan Enam jangan dijadikan sebahagian daripada persekolahan. Sentimennya ialah prauniversiti.
“Kalau berada dalam sekolah yang sama sekalipun, mereka perlu mempunyai blok berasingan, diurus sebagai program berasingan dan diberi pengiktirafan khas,” katanya.
Beliau berkata, majlis perhimpunan juga sewajarnya diasingkan dengan murid Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima supaya pelajar Tingkatan Enam benar-benar merasai status mereka sebagai pelajar pasca sekolah dan prauniversiti.
Menurut Anwar, pendekatan itu pernah diamalkan sebelum ini dan wajar dikembalikan bagi meningkatkan imej serta keyakinan pelajar terhadap laluan pendidikan tersebut.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan tidak menolak kemungkinan mengkaji semula cadangan memindahkan Tingkatan Enam ke KPT atau mewujudkan kolej khas Tingkatan Enam pada masa depan sekiranya keadaan mengizinkan.
“Sekarang kita kekalkan dahulu di bawah KPM. Beberapa tahun akan datang kita boleh kaji semula sekiranya dirasakan perlu,” katanya.
Sementara itu, Anwar turut mengumumkan kerajaan akan memperluaskan bantuan persekolahan kepada lebih 30,000 pelajar Tingkatan Enam supaya mereka menikmati kemudahan yang sama seperti murid Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.
Beliau berkata, pendidikan khas serta sekolah autisme juga akan terus diberi perhatian, selain meminta Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan memastikan keperluan sekolah-sekolah tersebut diberi keutamaan dalam Belanjawan akan datang.-UTUSAN










