Tiada unsur buli, pelajar cuba bunuh diri hidap skizofrenia sejak Mei

Tiada unsur buli, pelajar cuba bunuh diri hidap skizofrenia sejak Mei

MOHD. Khairi Khairudin (kiri) semasa sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, Kuala Terengganu. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kejadian cubaan membunuh diri melibatkan seorang pelajar perempuan tingkatan dua di sebuah sekolah di sini semalam, bukan berpunca daripada buli.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin  berkata, siasatan awal mendapati, pelajar berusia 14 tahun itu menghidap skizofrenia sejak Mei lalu dan keadaan kesihatan mentalnya diketahui oleh ibu bapa serta pihak pentadbiran sekolah.

Katanya, pelajar terbabit kini menerima rawatan dan pemantauan rapi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

“Pelajar itu menerima rawatan terakhir pada 14 Julai lalu dan dijadual menjalani rawatan susulan pada 15 September ini. Pihak sekolah juga telah merujuk pelajar berkenaan kepada guru kaunseling sebanyak 11 sesi selain mengadakan lima sesi konsultasi bersama ibu bapanya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen  (IPK) Terengganu, hari ini.

Mohd. Khairi berkata, guru kaunseling meneruskan pemantauan harian melalui sesi perjumpaan manakala pihak sekolah mengambil langkah keselamatan dengan menempatkan pelajar itu di kelas aras bawah serta meminta rakan-rakannya menemaninya ke mana sahaja.

Katanya, sebagai langkah pencegahan dan kawalan, Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) terus memantau perkembangan kes berkenaan secara berterusan.

Sementara itu, beliau menyeru semua pihak menghormati privasi mangsa dan keluarganya serta memberi ruang kepada pihak hospital meneruskan rawatan, di samping membolehkan polis menjalankan pemantauan sewajarnya.

Dalam kejadian kira -kira 9.30 pagi semalam, tindakan pantas Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu menyelamatkan pelajar perempuan itu daripada cubaan terjun dari tingkat dua bangunan sebuah sekolah tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN