KUALA LUMPUR: Tiada sebarang peruntukan dalam undang-undang mahupun Perlembagaan Persekutuan yang mewajibkan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan disandang oleh individu berbeza.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, keputusan untuk meletakkan kedua-dua jawatan itu kepada individu sama bergantung kepada pertimbangan Perdana Menteri pada sesuatu penggal pentadbiran.
“Kuasa pelantikan menteri-menteri Kabinet ialah budi bicara Perdana Menteri. Jadi, terpulang kepada Perdana Menteri pada mana-mana sesi Parlimen untuk menentukan siapa sebenarnya menteri-menteri termasuk Menteri Kewangan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Hussin Ismail berhubung kemungkinan kerajaan menggubal rang undang-undang (RUU) bagi memastikan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tidak disandang oleh individu sama.
Menurut Azalina, isu berhubung penyandang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan bukan semata-mata berkaitan jawatan, sebaliknya turut bergantung kepada individu yang diberikan tanggungjawab tersebut.
“Bagi saya, sebenarnya bukan jawatan, tetapi individu tersebut. Kalau individu itu seorang Perdana Menteri yang tahu membezakan, maka kita mendapatlah kesimpulan tersebut.
“Tetapi, kalau Perdana Menteri pada mana-mana sesi Parlimen menentukan perlunya orang yang sama, ia tertakluk kepada individu tersebut.
“Namun, tidak ada peruntukan atau syarat dalam undang-undang termasuk Perlembagaan yang mengatakan perlunya pemisahan jawatan tersebut,” katanya.
Terdahulu, Hussin berkata, isu pengasingan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sering dibangkitkan sejak beberapa pentadbiran lalu serta kembali menjadi perdebatan setiap kali musim pilihan raya.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan menjelaskan sama ada terdapat ruang untuk mewujudkan RUU bagi menoktahkan isu berkenaan. – UTUSAN










